PETALING JAYA: Cadangan menaikkan cukai minuman bergula (SSB) dalam Belanjawan 2025 dijangka memberi kesan kepada pengilang termasuk Nestle (Malaysia) Bhd.,Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) dan Berjaya Food Bhd.
CIMB Securities berkata, pengilang minuman itu boleh menaikkan harga jualan untuk memindahkan sepenuhnya cukai gula tambahan kepada pelanggan atau menurunkan kandungan gula dalam produk mereka ke bawah ambang cukai.
“Pengeluar yang terjejas oleh cukai gula sebelum ini menyesuaikan semula ramuan mereka.
“Pilihan lain termasuk meluaskan rangkaian produk mereka dengan produk yang kurang kandungan gula dan produk dengan harga jualan yang lebih tinggi, bagi menurunkan cukai ke atas minuman dengan kandungan gula yang tinggi,” menurut nota kajian.
Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad dipetik berkata, cukai baharu itu bertujuan mengurangkan penggunaan minuman manis, seterusnya mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia.
Perkara itu didorong oleh kejayaan kerajaan mengurangkan penggunaan minuman bergula sebanyak 9.25 peratus di seluruh negara selepas pelaksanaan kenaikan cukai gula 10 sen seliter kepada 50 sen seliter dalam Belanjawan 2024.
Firma penyelidikan itu berkata, anggaran dalaman menunjukkan bahawa 25 peratus sehingga 30 peratus daripada jualan Nestle datang daripada segmen minuman.
“Bagi F&N, campuran produknya termasuk minuman sedia untuk diminum (RTD) bergula serta produk tenusu manis.
“Kami menganggarkan jualan domestik produk ini merangkumi kurang daripada 35 peratus hingga 45 peratus daripada jumlah pendapatan bagi sembilan bulan pertama untuk tahun kewangan yang berakhir September 2024.
“Berjaya Food menjual beberapa produk minuman RTD tetapi sumbangan pendapatan daripada segmen ini adalah minimal.
“Bagi Farm Fresh, tiada produk mereka yang terjejas oleh cukai gula yang sedang berjalan,” katanya.
CIMB Securities mengekalkan panggilan ‘neutral’ terhadap sektor pengguna, dan mengekalkan Farm Fresh, MR.DIY, dan Aeon sebagai pilihan utama. – UTUSAN










