Jangan terus hukum Speedy Tigers

Jangan terus hukum Speedy Tigers

SKUAD hoki lelaki negara mendengar kata-kata yang disampaikan ketua jurulatih, Sarjit Singh (tengah) selepas tewas kepada China 2-4 dalam perlawanan kedua Kejohanan Hoki Juara-Juara Asia di Hulunbuir, Inner Mongolia, China, kelmarin. - IHSAN KHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Speedy Tigers perlu diberikan masa untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap selepas gagal mempamerkan aksi terbaik sejak kebelakangan ini.

Bekas pemain hoki kebangsaan, Nor Saiful Zaini, kegagalan Speedy Tigers di bawah bimbingan Sarjit Singh bukanlah sesuatu yang boleh diselesaikan dalam sekelip mata.

Nor Saiful menegaskan, meskipun dengan persediaan serba lengkap termasuk jelajah Eropah sebelum ini, ada aspek lain yang perlu diperhalusi bagi membentuk pasukan yang konsisten.

“Kita tidak boleh hanya menyalahkan pemain apabila kalah. Ada banyak faktor yang perlu dipertimbangkan, termasuk strategi, mentaliti, dan kerjasama sepasukan.

“Saya rasa mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan gaya dan pendekatan Sarjit. Tidak mudah untuk menukar sistem permainan serta-merta.

“Lebih-lebih lagi dengan (adanya) beberapa muka baharu yang diletakkan oleh peminat serta pihak pengurusan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, anak-anak buah Sarjit tumpas 2-4 kepada China dalam perlawanan kedua saingan Kejuaraan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 di Hulunbuir, Inner Mongolia, China.

Dalam aksi pertama, Speedy Tigers terikat 2-2 dengan Pakistan dan mereka akan berdepan juara bertahan, India hari ini dengan misi wajib menang untuk mencerahkan peluang

Mengulas lanjut, Nor Saiful berkata, kekalahan kepada China perlu diambil dalam sudut positif sebagai satu pengajaran penting buat pasukan.

“Kadang-kadang kita perlu melalui kekalahan untuk belajar dan memperbaiki diri. Mereka perlu lebih fokus dan bekerja keras untuk perlawanan seterusnya.

“Kita mempunyai pemain-pemain muda yang berbakat dan berpotensi besar, namun mereka memerlukan bimbingan dan masa untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×