ISLAMABAD: Polis Pakistan menahan beberapa ahli parlimen dan pemimpin parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI), dalam serbuan sehari selepas parti itu mengadakan perhimpunan besar-besaran di ibu negara untuk menuntut pembebasan bekas Perdana Menteri, Imran Khan.
Seorang jurucakap parti memaklumkan, polis menahan empat individu, namun menurut PTI sebanyak 13 pemimpinnya ditahan di pelbagai lokasi di Islamabad termasuk di luar Parlimen.
Rakaman media di pekarangan Parlimen, menunjukkan polis membawa masuk ahli parlimen yang ditahan ke dalam kenderaan, yang disifatkan sebagai perbuatan kotor oleh pemimpin PTI, Omar Ayub Khan.
Pembantu Omar yang juga seorang jurucakap parti, Zulfikar Bukhari dalam satu hantaran di laman X memberitahu, turut ditahan ialah Pengerusi PTI, Gohar Khan serta pemimpin kanan Shoaib Shaheen dan Sher Afzal Marwat.
Dalam perhimpunan semalam, beberapa pemimpin parti seperti Ketua Menteri Ali Amin Gandapur dari Khyber Pakhtunkhwa, mengkritik pakatan pemerintah dan tentera dalam ucapan mereka.
“Bersihkan rumah anda. Saya tidak takut dengan uniform tentera,” katanya menegaskan sebarang cubaan perbicaraan tentera untuk Imran akan mencetuskan bantahan.
Menteri Penerangan, Attaullah Tarar berkata, Ali turut mengancam untuk membebaskan Imran dari penjara secara paksa dan menghasut penyokongnya untuk terlibat dalam kekerasan.
Imran, 71, yang juga bekas bintang kriket, ditahan lebih setahun sejak kejatuhannya pada 2022 selepas perselisihan dengan jeneral tentera Pakistan. – AGENSI










