Nilai jualan sektor pembuatan mencapai RM157.1 bilion pada Julai - Utusan Malaysia

Nilai jualan sektor pembuatan mencapai RM157.1 bilion pada Julai

SEKTOR pembuatan dijangka terus berkembang sepanjang tahun ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nilai jualan sektor pembuatan mencapai RM157.1 bilion pada Julai 2024, mencatatkan peningkatan 9.1 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, nilai jualan sektor pembuatan meningkat 9.1 peratus untuk mencapai RM157.1 bilion pada Julai 2024 berbanding bulan yang sama Julai 2023, -3.0 peratus, menunjukkan pertumbuhan tertinggi sejak Februari 2023 sebanyak 10.3 peratus.

Jelas beliau, peningkatan ini sebahagian besarnya dipacu oleh pertumbuhan dua digit iaitu sebanyak 16.0 peratus (Jun 2024: 8.6 peratus) dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau, diikuti oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik (8.2 peratus) dan petroleum, kimia, getah dan plastik (6.2 peratus).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berasaskan bulan ke bulan, nilai jualan tumbuh sebanyak 0.6 peratus daripada RM156.1 bilion pada Jun 2024 (0.8 peratus).

“Industri berorientasikan eksport yang merangkumi 72.3 peratus daripada jumlah nilai jualan, kekal kukuh dengan pertumbuhan 9.4 peratus pada Julai 2024 selepas mencatatkan peningkatan 6.0 peratus pada bulan sebelumnya.

“Prestasi yang lebih baik ini disebabkan terutamanya oleh peningkatan dalam industri Pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (9.1 peratus), pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (23.5 peratus) dan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (4.8 peratus). Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan industri berorientasikan eksport turun sedikit sebanyak 0.5 peratus (Jun 2024: 3.9 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Mohd.Uzir berkata, begitu juga, industri berorientasikan domestik mengukuh pada 8.4 peratus (Jun 2024: 5.5 peratus), dipengaruhi terutamanya oleh pembuatan produk makanan pada 7.0 peratus.

Dalam pada itu, industri pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler memulih kepada 6.2 peratus daripada penurunan 5.2 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

“Bagi perbandingan secara bulanan, nilai jualan industri berorientasikan domestik meningkat semula sebanyak 3.7 peratus selepas kekal pada trend menurun sejak April 2024 (Jun 2024: -6.7 peratus).

Mohd. Uzir menambah, terdapat 2.37 juta pekerja terlibat dalam sektor pembuatan pada Julai 2024, meningkat 1.3 peratus (Jun 2024: 1.0 peratus) berbanding setahun lalu.

“Pertumbuhan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh makanan, minuman dan tembakau (4.0 peratus), produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (2.3 peratus) dan kayu, perabot, produk kertas dan percetakan (1.2 peratus).

“Berbanding dengan bulan sebelumnya, bilangan pekerja dalam sektor ini merosot sedikit 0.01 peratus (Jun 2024, -0.3 peartus ).

“Pada masa yang sama, gaji dan upah dalam sektor pembuatan meningkat sebanyak 2.4 peratus, mencecah jumlah RM8.12 bilion. Ini menjadikan kenaikan purata gaji dan upah bulanan setiap pekerja adalah sebanyak 1.2 peratus kepada RM3,429 (Jun 2024: 0.8 peratus; RM3,459). Selari dengan itu, nilai jualan bagi setiap pekerja meningkat sebanyak 7.8 peratus untuk merekodkan RM66,285 (Jun 2024: 4.8 peratus; RM65,874),” katanya.

Merumuskan kenyataan itu,, Mohd. Uzir berkata, dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini (Januari hingga Julai 2024), nilai jualan kumulatif sektor pembuatan mencatatkan RM1,078.6 bilion, meningkat 4.5 peratus berbanding tempoh yang sama 2023 (Januari – Julai 2023: RM1,032.6 bilion; 2.5 peratus).

“Bilangan pekerja meningkat 1.3 peratus kepada sejumlah 2.37 juta orang, manakala gaji dan upah tumbuh 1.5 peratus kepada RM57.4 bilion. Selain itu, nilai jualan bagi setiap pekerja berjumlah RM455,213, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.2 peratus,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN