Tunku Azizah saran pengantin pakai tekstil tradisional - Utusan Malaysia

Tunku Azizah saran pengantin pakai tekstil tradisional

TUNKU Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memberi penerangan mengenai koleksi yang dipamerkan kepada Perunding Kreatif Komunikasi dan Rekaan untuk Tekstil Kediaman, Trudi Ballard dan Yong Yoon Li. - GAMBAR MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyarankan supaya tekstil tradisional Melayu digayakan semula oleh pengantin dalam majlis perkahwinan.

Titah baginda, ia berikutan kebanyakan pengantin hari ini sudah tidak lagi gemar memakai pakaian tradisional seperti songket mahukan persalinan yang diperbuat daripada tenun.

“Keaslian seni tekstil seperti tenun Pahang yang berusia lebih 1,000 tahun, perlu terus dipertahankan sebagai legasi untuk generasi akan datang.

“Apa salahnya menggayakan songket, tenun atau batik dalam majlis perkahwinan?

“Akibat tidak lagi digayakan, ramai golongan muda hari ini tidak lagi mengenal tekstil tradisional Melayu dengan yang dibuat dengan mesin moden,” titah baginda pada sidang akhbar sempena Pameran Tenun Pahang Diraja di Galeri Pelawat, Royal Selangor di sini.

Turut hadir, Tengku Puteri Raja Pahang, Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah serta Pengarah Urusan Royal Selangor, Datuk Yong Yoon Li.

Pameran yang dijadualkan berlangsung selama sebulan itu mempamerkan sebanyak 25 baju kurung moden tenun daripada koleksi 20 tahun milik baginda dan anakandanya.

Turut dipamerkan dua pasang persalinan pakaian kuning dan putih yang digayakan oleh baginda pada istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang lalu.

Tunku Azizah turut menzahirkan rasa bimbang apabila ramai golongan muda memilih untuk membeli tekstil import seperti India semata-mata kerana harganya jauh lebih rendah.

“Ramai beli songket dan tenun mesin dari India tapi sebenarnya sudah hilang nilai asli tekstil berkenaan. Saya juga tidak bersetuju harga tekstil diperbuat daripada mesin sama dengan yang diperbuat dengan tangan.

“Mesin boleh buat banyak pengeluaran pada satu masa tetapi kualiti tidak sehalus buatan tangan yang hanya boleh buat sebidang kain pada satu masa. Baju pertabalan saya itu dibuat hanya 7.62. sentimeter saja sehari. Jadi, kualitinya memang tidak sama, ” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×