PETALING JAYA: Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin sanggup melupakan kesakitan bahu kirinya demi menyumbang emas kedua buat Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024, kelmarin.
Atlet kelahiran Sarawak itu berada dalam kelas tersendiri selepas meraih emas dalam kategori 72 kilogram (kg) menerusi angkatan terbaik 232kg sekali gus memecah rekod dunia miliknya sebelum ini 231kg di Dubai.
Bonnie berkata, kecederaan itu dialaminya sejak seminggu lalu ketika menjalani latihan menjelang persiapan acara terbabit.
“Seminggu saya rasa sakit di bahagian bahu kiri sehingga menjadi bengkak dan masih belum surut menjelang hari pertandingan.
“Angkatan pertama memang saya rasa sakit. Saya tahan dan teruskan angkata kedua dan kali ketiga ianya memeritkan. Saya belum pernah mengalami kecederaan sebegini. Sebelum ini hanya di bahu belakang sahaja,” katanya.
Atlet berusia 25 tahun itu sekali lagi mencipta sejarah baharu di pentas antarabangsa selepas merekodkan angkatan 232 kilogram (kg) pada cubaan ketiga.
Sementara itu, Bonnie mendedahkan beliau mahu menyasarkan untuk mengekalkan ranking beliau sebagai No. 1 dunia dalam kategori 72kg pada Kejohanan Dunia Para Powerlifting di Mesir, Oktober depan.
“Persembahan saya (Paris) sangat berpuas hati. Biarpun saya mengalami kecederaan ianya tetap membuahkan hasil kepada saya.
“Selepas ini saya akan ke Kejohanan Dunia di Mesir. Saya akan menyasarkan untuk mengekalkan ranking saya,” jelasnya.
Kejohanan dunia terbabit akan berlangsung di Kaherah, Mesir pada 11 hingga 18 Oktober 2025.-UTUSAN











