Alih Mara Digital Mall ke aras bawah

Alih Mara Digital Mall ke aras bawah

SUASANA di Mara Digital Mall, Bangunan Mara Kuala Lumpur, yang lenggang tanpa pelanggan semasa tinjauan Utusan Malaysia, baru-baru ini. – MINGGUAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mara Digital Mall di Bangunan Mara, Jalan Tuanku Abdul Rahman di ibu negara perlu dipindahkan ke tingkat bawah, bagi menjamin kelangsungan perniagaan di kawasan itu.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, inisiatif itu perlu dilakukan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dengan segera.

Katanya, ini kerana lokasi ketika ini (di tingkat tiga) lebih tertutup dan tidak sesuai untuk menjalankan perniagaan sekali gus menyebabkan kawasan itu kekurangan pelanggan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lokasi tidak sesuai dan ia tertutup. Perniagaan melibatkan gajet dan telefon kena kawasan yang mudah dan kelihatan.

“Jadi tempat itu tidak sesuai jadi konsep perniagaan yang mestilah terletak di tingkat bawah, mudah dilihat dan dikunjungi,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, nasib Mara Digital Mall yang sudah beroperasi kira-kira 10 tahun terus menjadi tanda tanya berikutan kadar kehadiran pengunjung yang terus ‘sendu’ walaupun pada hujung minggu.

Pembukaan Mara Digital Mall pada 2015 adalah cetusan idea bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Matlamat utama Mara Digital Mall adalah untuk menyedia pusat perniagaan bagi peniaga bumiputera agar mampu bersaing dengan Plaza Low Yat yang dikuasai oleh peniaga bukan bumiputera.

Namun, tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati, hanya 10 pelanggan dalam tempoh sejam berkunjung ke pusat perniagaan itu yang terletak di tingkat tiga dengan cuma 14 daripada 20 kedai yang ber­operasi ketika tinjauan di buat.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, tidak dinafikan cadangan mewujudkan Mara Digital Mall itu merupakan satu inisiatif yang bagus.

Bagaimanapun, katanya, ia hanya dilihat sekadar mahu memenuhkan ruang dan akhirnya peniaga yang terpaksa menanggung segala risiko.

“Oleh itu, kena ubah lokasi ke lobi (Bangunan Mara), jadi pelanggan boleh datang dan baru boleh bersaing dengan kompleks yang lain, (jika tidak) macam mana mahu bersaing,” katanya.

Pada masa sama, Rosli berkata, Mara perlu membantu memasarkan produk usahawan di kawasan terbabit supaya lebih dikenali ramai.

Katanya, tindakan itu perlu dilakukan bagi menarik pelanggan untuk mengunjungi kawasan tersebut.

“Selain itu, di samping kedai-kedai berkaitan gajet, kena ada kawasan membeli belah yang lain, jadi pelanggan boleh membeli barangan yang lain sama.

“Ini letak saja kedai telefon, jadi konsep gerainya itu tidak menyerlah,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki ketika dihubungi bagaima­napun enggan mengulas lanjut isu berkenaan. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN