DUNIA muzik Indonesia, jika dibandingkan dengan Malaysia, lebih luas padangnya. Pemainnya juga lebih ramai kerana setiap tahun, ada sahaja penyanyi-penyanyi baharu yang muncul mengisi kekosongan.
Kalau di Malaysia, nama Lyodra Ginting mungkin belum segah Kris Dayanti Lemos atau Rossa.
Namun di negara seberang, anak kelahiran Medan, Sumatera Utara ini, mengharum dan sedang mekar.
Lyodra lebih daripada rupa paras yang cantik. Kebolehan dan pesonanya cukup membezakan dia dengan penyanyipenyanyi lain.
Dan populariti yang dicipta penyanyi berusia 21 tahun ini adalah hasil kerja keras yang dikumpul sejak usianya belasan tahun.
Jalan yang ditempuh dia terlalu bersimpang siur. Malah selepas dimahkotakan sebagai juara Indonesian Idol ke-10 pada tahun 2020, laluan dia kekal sukar dan menduga.
“Bukan mudah untuk sampai ke titik ini. Terlalu berulang badai yang menghempas, sampaikan hati saya berbisik, selama mana lagi dapat saya bertahan. Kalau mahu diceritakan, ujian itu memang banyak.
“Namun, yang boleh saya kongsikan, antara tempoh yang paling menduga adalah selepas diangkat juara Indonesian Idol. Dunia selepas itu bertukar gelap gara-gara pandemik yang mencengkam.
“Ketika itu, kita semua hidup dalam rasa gusar, ketidaktentuan. Saya pula terpaksa berdamai dengan takdir, hilang punca pendapatan dan terhalang membuat persembahan kerana Covid-19.
“Namun pengalaman itu mengajar, menjadikan saya lebih kuat bekerja meskipun dalam keterbatasan. Hari ini, saya bersyukur dan mampu tersenyum, sambil mengenang semula fasa itu,” kongsinya.
Ternyata, hasil tidak mengkhianati usaha. Lyodra hari ini sang pemilik suara yang dicintai ramai.
Satu persatu kejayaan mulai menimbun, antara yang paling memberi bangga adalah pengiktirafan sebagai antara penyanyi termuda yang lagu-lagunya paling banyak distrim di platform maya.
Itulah hasil dan berkat kesabaran dan doa. “Saya memang tidak pernah menyangka saya mampu sampai ke titik ini. Tidak banyak mampu saya ucapkan, hanya rasa syukur. Terima kasih Tuhan, kerana membuka hati ramai orang untuk menyukai karya saya.
“Saya mahu terus berdoa, semoga kejayaan yang saya miliki hari ini, bukan yang terakhirnya. Semoga lebih banyak rezeki dari Tuhan untuk saya,” jelasnya.

MALAYSIA YANG TERISTIMEWA
SEKALI lagi Tuhan memperkenankan doa Lyodra Margareta Ginting, hasrat untuk mengadakan konsert di Malaysia termakbul.
Lebih manis, momen indah yang akan tercipta pada 28 September ini di Megastar Arena Kuala Lumpur bakal diabadikan bersama idolanya, Afgan Syahreza.
Saya bertanya, kenapa Malaysia yang diintai Lyodra? Apa istimewanya negara ini di matanya?
“Memang sejak dulu saya menyimpan impian untuk ke sini, mengadakan konsert di sini. Ramai orang Malaysia yang suka dengan lagu penyanyi Indonesia. Peminat di sini juga sangat menghormati dan menghargai karya kami.
“Jelas, tentu Malaysia dan Indonesia banyak bezanya. Tapi kita juga berkongsi terlalu banyak persamaan. Dari segi bahasa dan budaya, kita bersilang. Saling mudah dan memahami,” katanya.
Ujar Lyodra, dia amat faham dan sangat menghargai keserumpunan yang tercipta antara dua negara. Justeru dia berharap, agar Malaysia dan Indonesia kekal bersaudara.
“Perbandingan dan antara kita tidak penting dan tidak seharusnya dikedepankan. Ternyata, kita ini serumpun. Kita berkongsi terlalu banyak kesamaan.
“Malaysia dan Indonesia, sama-sama hebat. Kita terlalu dekat, walaupun ada bezanya kita, pada sisi budaya. Perbezaan itu membikin indah.
“Dan jangan silap, penyanyi dari Malaysia terlalu ramai yang hebat, mengagumkan pencinta muzik Indonesia,” katanya lagi.

WAKTU REMAJA YANG INGIN DIKEMBALIKAN
LYODRA, bekas penyanyi cilik yang kini, dikenali di Indonesia. Sebenarnya, usaha dia membina nama bukan baru bermula semalam, tetapi sejak usianya empat tahun.
Pada umur yang terlalu muda, dia sudah mencipta peluang sendiri, memburu kesempatan dengan menyertai pelbagai pertandingan nyanyian. Dan sejak kanak-kanak, Lyodra sudah meraih pendapatan dengan menyanyi.
“Ada ketika, saya kenang semula zaman kecil dan remaja saya, yang tidak berkesempatan merasai keseronokan seperti kanak-kanak dan remaja lain. Hidup saya, sejak kecil, adalah mengenai nyanyian dan bekerja dalam bidang itu untuk mencari pendapatan.
“Kalau ada yang menyoal, tentu tidak banyak kenangan zaman remaja yang boleh saya ceritakan. Waktu itu saya hanya tahu bekerja dan mencari wang,” katanya.
Namun, tidak lekang daripada bibir penyanyi cantik ini mengucap rasa syukur dan berterima kasih. Kerana Tuhan telah merezekikan bidang kerjaya yang dicintainya.
“Sebab itu, saya tidak pernah rasa penat. Saya seronok, tak mengapalah saya hilang keseronokan zaman kanak-kanak dan remaja saya. Sebab saya melakukan perkara yang saya cintai.
“Setiap kali menyanyi atau membuat persembahan, ada perasaan lain yang muncul. Semangat dan keterujaan. Jadi, saya bersyukur dan tak ada yang ingin dirungutkan,” katanya lagi.










