BUKANLAH mahu mengangkat keagungan cinta mereka sementelah amat memahami bahawa tiada apa yang sempurna di dunia ini melainkan semuanya hanyalah pinjaman Allah SWT semata-mata.
Tetapi, bohong kalau tidak terlintas di fikiran untuk memikirkan apa agaknya rahsia kekuatan seorang wanita bernama Noor Neelofa Mohd. Noor selepas ditebak bukan satu, tetapi berjuta kata kecaman yang bagaikan tidak pernah surut.
Jika dilihat, sebelum, semasa dan selepas mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihan hatinya, Muhammad Hariz Ismail, 25, Neelofa sehingga sekarang masih tetap menerima kata benci orang, seolah-olah tiada perkara baik yang pernah dilakukan oleh wanita ini di mata umum.
Entahlah. Barangkali kerana keberkatan doa kedua orang tua yang sentiasa mengiringi perjalanan hidupnya selama ini maka Neelofa, meski ditentang orang di kiri dan kanan, wanita ini tetap teguh meneruskan misi dan visinya.
Menyedari bahawa perkahwinannya dengan Haris yang lebih dikenali sebagai PU Riz terpalit dengan pelbagai kontroversi, pelakon dan selebriti popular tanah air ini mengaku,tidak mampu untuk mengawal tohmahan orang.
Malah, baginya, menerusi pelbagai situasi tegang yang berlaku kebelakangan ini juga tidak sedikit pun menyebabkan cinta dan kasih sayangnya terhadap suami goyah.
“Tiada kata lain mampu saya ucap selain bersyukur sahaja. Alhamdulillah, segala yang berlaku pada waktu ini dan kebelakangan ini, tidak memberi kesan kepada kebahagiaan kami.
“Bila sudah berkahwin ini, kami berdua bukan sahaja sebagai pasangan, tetapi juga satu pasukan. Banyak perkara dan tindak tanduk perlu berbincang dan dilakukan sama-sama,”katanya.
Bersyukur kerana dikurniakan PU Riz sebagai pasangan hidupnya, kata Neelofa, sejak bergelar isteri, walaupun baru beberapa minggu, dia berasa beruntung kerana kini mempunyai seseorang yang boleh berkongsi pandangan dan menasihati dirinya.
“Sebagai manusia biasa, ada perkara yang kita tak nampak tetapi nampak di mata orang lain. Begitulah Haris yang mana sebagai suami, dia boleh mengingatkan dan menasihati saya dalam pelbagai aspek.
“Itulah kelebihan berumah tangga ini kalau nak dibandingkan dengan kehidupan sebelum ini. Macam mengenai permohonan maaf baru-baru ini termasuk isu urusan perkahwinan dan bulan madu di Langkawi, encik suami pesan jangan panjang-panjangkan lagi.
“Cukuplah. Lagipun kita semua sudah masuk bulan Ramadan. Kalau boleh nak melangkah masuk ke bulan agung dan penuh keberkatan ini dengan hati yang bersih dan baru,” katanya.
AMBILLAH YANG BAIK
Mengimbas kembali, kata Neelofa, perihal dikecam, ditohmah dan dikritik di segenap penjuru ini bukanlah pertama kali berlaku dalam hidupnya walaupun ramai melihat sejak mendirikan rumah tangga, itulah yang sedang berlaku.
Wanita berpurdah ini berpendapat, sejak 10 tahun berkecimpung dalam bidang seni hiburan, dia sudah terbiasa dengan keadaan itu.
Bukanlah tidak peduli, tetapi penting untuk dirinya sentiasa meletakkan nilai positif dalam diri kerana walau dalam keadaan apa pun, dia tidak membenarkan dirinya untuk menoleh kebelakang dalam setiap langkahnya.
“Tak perlu komen panjang-panjang pun orang tahu dan media pun tahu dari awal penglibatan saya. Anda semua tahu bagaimana saya mengendalikan kebanyakan perkara yang berlaku termasuk memperbaikinya.
“Dari satu fasa ke satu fasa, makin lama makin nampak dengan jelas dan menerusi pengalaman, kita akan faham sesuatu perkara itu. Memang orang akan salah tafsir, tetapi saya ada cara saya.
“Apa pun, saya harap kita semua ambillah pengajaran yang baik dan mematangkan,” katanya.
Menerusi segala yang berlaku juga, kata Neelofa, adalah tidak mungkin untuk dia mengalah dan mengundur diri hanya semata-mata cemuhan dan kata-kata nista orang.
Ini kerana katanya, jika hendak dibandingkan, 10 tahun lalu lebih teruk kecaman pernah singgah pada dirinya.
“Sejak tahun 2011, apa sahaja yang orang tak kata pada saya? Macam-macam. Tetapi saya perlu bergerak ke depan. Tentulah dalam setiap perjalanan itu kita akan terkucil di sana sini, tetapi ia adalah sebahagian daripada perjalanan hidup,” katanya positif.

RUTIN RAMADAN YANG SAMA
Sudi berkongsi sedikit mengenai suasana Ramadannya kali ini, sebagaimana pasangan pengantin baharu, tentunya dia juga teruja untuk bersama-sama meraikan kedatangan bulan yang mulia ini bersama Haris.
Menyaksikan Ramadan pertamanya sebagai suami isteri, Neelofa bagaimanapun tidak merasakan banyak perbezaannya memandangkan sebelum ini rutin yang dijalaninya sama sahaja.
“Memang teruja nak sambut Ramadan saban tahun pun. Tapi dari segi perbezaan tak ada sangat pun sebab sebelum ini pun memang saya aktif sahaja semasa bulan puasa.
“Rutin sahur dan sebagainya, sama sahaja cuma mungkin perhatian khususnya ialah saya kini ada pasangan untuk beribadah bersama-sama,” katanya.
Dalam pada itu, dia juga tidak sabar untuk menerima reaksi peminat dan penonton menerusi kemunculannya dalam program Islamik baru berjudul N to N yang bakal bersiaran di saluran Astro pada minggu pertama Ramadan ini.
Menyelitkan pertanyaan mengenai pandangannya terhadap perubahan baik pasangan hos yang sinonim dengan dirinya, Nabil Ahmad, Neelofa mengaku gembira.
“Perjalanan kami ini lebih kurang sama, dia ada ceritanya dan saya pun ada cerita tersendiri sepanjang lapan tahun mengendalikan program hiburan.
“Dapat bergandingan dengannya untuk sebuah program bercorak keagamaan juga bagi saya itu satu rezeki besar. Nabil di mata saya juga adalah seorang insan yang baru, berjiwa baharu.
“Saya cukup berbangga dengan dirinya kini dan mendoakan perubahan itu dapat memberi inspirasi kepada selebriti lain untuk sama-sama berubah ke jalan Allah SWT,” katanya.










