Rio burung mahal bernilai RM16,000

Rio burung mahal bernilai RM16,000

NURUL Aisya Ismail bersama burung makaw peliharaannya, Rio.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMILIKI haiwan peliharaan yang bernilai tinggi seperti burung makaw pastinya menjadi impian ramai pencinta hidupan itu.

Dua tahun lalu, Nurul Aisya Ismail, 38, membeli makaw dengan harga RM8,000 namun kini nilai pasarannya melonjak dua kali ganda sehingga mencecah RM16,000.

Menurut Nurul Aisya, dia sanggup membelanjakan setinggi itu untuk memperoleh seekor makaw kerana keunikan dan kebijaksanaan burung berkenaan.

Katanya, tarikan makaw yang diberi nama Rio ini terletak pada coraknya yang berwarna biru dan kuning keemasan serta kebolehan bercakap yang tidak ada pada haiwan lain.

“Saya sekeluarga memang sukakan haiwan. Saya bela makaw sebab burung ini bijak dan boleh memberi berinteraksi dengan manusia. Contohnya, sekiranya saya membeli salam, Rio akan menjawab salam itu. Rio juga mudah mengikuti setiap perkataan yang saya sebut.

“Dia akan mengeluarkan bunyi yang kuat sekiranya ada orang yang tidak dikenali berada di kawasan rumah. Ia seakan-akan memberi amaran,” katanya.

BURUNG makaw mempunyai kebolehan berinteraktif dengan manusia.

RIO SPESIS ARA ARARAUNA

Tergolong dalam spesis Ara ararauna, Rio memiliki saiz besar dan panjang sehingga mencapai 110 sentimeter (cm).

Selain itu, jangka hayat bagi seekor makaw biru serta kuning keemasan juga boleh mencecah 80 hingga 120 tahun bergantung kepada pemakanan diberikan.

“Makanan yang betul, kunci utama untuk memastikan jangka hayat makaw lebih lama. Ia tidak boleh diberi makanan bergula kerana berisiko menjejaskan kesihatannya,” jelasnya.

Tambahnya, pemeliharaan makaw memerlukan permit khas daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Burung makaw tidak boleh dibela sewenang-wenangnya. Perlu ada lesen untuk memilikinya dan lesen boleh diperbaharui setiap tahun dengan harga RM10 sahaja,” katanya.

DIET SEIMBANG

Mengenai aspek pemakanan, makaw memerlukan diet yang seimbang dan berkualiti supaya kesihatannya terjamin serta terhindar daripada penyakit yang boleh mengancam nyawanya.

Aisya menyediakan jadual makan untuk memastikan Rio mendapat tenaga mencukupi sesuai dengan saiznya.

“Rio makan ikut jadual yang saya tetapkan. Bermula dengan susu pada waktu pagi diikuti dengan buah-buahan seperti oren dan epal pada tengahari.

“Kadang kalanya saya beri kuaci tanpa garam dan kacang organik sebagai snek. Saya memang menitikberatkan pemakanan yang berkhasiat sahaja dan tidak akan beri makan sesuka hati,” ujarnya mengenai burung asal Amerika Syarikat itu.

SELURUH keluarga Nurul Aisya merupakan pencinta haiwan.

PENJAGAAN RAPI

Burung spesis eksotik ini memerlukan perhatian dan penjagaan khusus malah haiwan itu juga terkenal dengan sifatnya yang manja dan mudah merajuk.

Kos keseluruhan diperlukan untuk memelihara seekor burung makaw melebihi RM700 sebulan yang membabitkan harga makanan dan mainan sebagai aktiviti.

“Setiap petang, saya bawa Rio meronda menaiki basikal. Saya juga menyediakan mainan seperti batang kayu tetapi Rio akan rosakkan dengan paruhnya. Jadi saya perlu berikan mainan baharu setiap dua minggu.

“Setiap pagi saya akan membelai Rio dan bercakap dengannya. Rio akan merajuk sekiranya tidak diendahkan dan perkara itu juga boleh menyebabkan haiwan ini mengalami tekanan,” jelasnya.

Tambahnya, Rio bukanlah sejenis haiwan yang mudah mesra malah dia juga akan bertindak agresif dengan orang yang tidak dikenali.

Rio juga tidak suka berkongsi habitat dengan burung lain kerana ia berisiko mengancam nyawa spesis lain itu.

“Rio perlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan orang baharu. Sekiranya Rio tidak sukakan orang itu, dia akan cederakan menggunakan paruhnya.

“Saya pernah satukan sangkar Rio dengan burung Conure Matahari. Tak sangka Rio bertindak menyerang haiwan itu. Saiznya yang lebih besar boleh memudaratkan haiwan itu jadi saya pilih untuk asingkan mereka,” ujarnya berkongsi cerita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×