BUTTERWORTH: Mulai Isnin ini orang ramai akan dapat merasai peningkatan kualiti perkhidmatan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara.
Itu janji Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli yang yakin dapat mengurangkan kesesakan pelanggan dan masa menunggu menerusi langkah penambahbaikan yang dilaksanakan.
Beliau berkata, penambahbaikan itu akan dibuat secara berperingkat selepas perbincangan bersama pengarah-pengarah negeri selesai sepenuhnya.
“Kita masih berbincang untuk meneliti kaedah yang akan dilaksanakan kerana setiap negeri memiliki prosedur yang berbeza.
“Pengarah-pengarah inilah yang akan memutuskan cara untuk melaksanakannya di negeri masing-masing,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kaunter JPJ di Seberang Jaya, semalam.
Aedy Fadly berkata, antara penambahbaikan yang dilakukan ialah menyediakan pegawai pemudah cara (JPJ Assist) bagi membantu pelanggan.
Beliau berkata, pihaknya turut menggalakkan pelanggan membuat urus niaga pembaharuan Lesen Memandu (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ dan portal MySIKAP.
“Sistem JPJeQ turut ditambah baik dan prosedur operasi standard (SOP) bagi urus niaga pelesenan kenderaan dan pelesenan pemandu akan mengguna e-dokumen,” katanya.
Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar meminta JPJ menambah baik taraf perkhidmatan dan memastikan isu yang melibatkan pelanggan dapat diatasi. – UTUSAN










