BRICS kurangkan kebergantungan pada dolar

BRICS kurangkan kebergantungan pada dolar

ANWAR Ibrahim bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin ketika sesi Plenari sempena Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 di Russia, kelmarin. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, organisasi antara kerajaan Brazil, Russia, India dan China (BRICS) bakal menjadi mekanisme penting untuk membantu Malaysia mengurangkan kebergantungan terhadap mata wang dolar.

Perdana Menteri berkata, ini kerana Malaysia masih bergantung kepada mata wang dolar sehingga kini.

“Isu penggunaan mata wang tempatan yang kami lakukan sebelum ini hanyalah dengan China, Indonesia dan sehingga ke tahap tertentu dengan Thailand, kini dibincangkan dengan India.

“Kami masih bergantung kepada dolar, tetapi sekurang-kurangnya untuk mengurangkan impaknya, kami perlu me­lakukannya. Dan BRICS tentunya merupakan satu lagi mekanisme untuk mencapai tujuan itu,” kata beliau dalam satu wawancara bersama agensi berita Russia RIA Novosti dan penyi­ar RT, lapor Bernama-Sputnik.

Anwar ketika ini dalam lawatan kerja dua hari termasuk menghadiri Forum Ekonomi Timur Ke-9 (EEF) di Russia.

Mengulas lanjut, Anwar ber­kata, BRICS juga amat pen­ting bagi mengukuhkan kerjasama dalam kalangan negara-negara di Global South.

Katanya, ia termasuk membendung tekanan dari negara-negara perindustrian yang kaya.

Justeru, beliau amat menghargai jemputan Presiden Russia, Vladimir Putin yang menjemput Malaysia menghadiri mesyuarat BRICS di Kazan bulan depan.

“Dasar kami sudah tentunya untuk memperkukuh Global South. BRICS adalah meka­nisme yang sangat penting untuk memperkukuh kerjasama seperti itu dalam kalangan negara-negara di Global South.

“Bukan untuk mencetuskan permusuhan, tetapi sekurang-kurangnya membendung tekanan dari negara-negara perindustrian yang lebih kaya selain membina kekuatan bersama,” katanya.

Pada masa sama, Perdana Menteri menekankan kepen­tingan Global South untuk mengatur strategi menjadi lebih kuat bagi menangani tekanan dihadapi.

“Kami juga perlu mengatur untuk menjadi lebih kuat, agar dapat menahan tekanan yang di luar kawalan kami. Itu bagi saya, kebijaksanaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×