Jenin seperti penjara, penduduk terpaksa berkurung 8 hari

Jenin seperti penjara, penduduk terpaksa berkurung lapan hari

SEORANG pemuda Palestin mengangkat tangan ketika berdiri di hadapan kenderaan perisai Israel di Jenin, Tebing Barat, semasa serbuan tentera di wilayah itu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Rakyat Palestin di Tebing Barat menggambarkan keadaan di wilayah itu semakin tragis apabila serbuan berterusan tentera Israel melumpuhkan kehidupan seharian mereka.

Penduduk di kawasan seperti kem pelarian Jenin terpaksa bersembunyi di rumah atau melarikan diri demi mencari perlindungan keselamatan, apatah lagi kemusnahan dan kekurangan bekalan asas semakin memburukkan keadaan.

Adnan Naghnaghia, 56, mendedahkan dirinya terpaksa berkurung di rumah selama lapan hari ketika pasukan Israel menjalankan serbuan, bertempur dengan pejuang dan melakukan penangkapan di Tebing Barat.

Bapa lima anak ini berkata, kehidupannya di kem pelarian Jenin, utara Tebing Barat seperti berada di penjara apabila kawasan itu menjadi sasaran utama operasi antikeganasan Israel sejak 28 Ogos lalu.

Israel menjajah Tebing Barat sejak 1967 dan sering menceroboh komuniti Palestin, namun serbuan kali ini menunjukkan peningkatan yang ketara.

Naghnaghia berkata, kehadiran tentera Israel dalam operasi paling lama di Tebing Barat, menyebabkan kehidupan di Jenin terhenti.

“Mereka memaksa kami tinggal di dalam rumah dan bukan keluar serta menjalani kehidupan normal.

“Kebanyakan penduduk sudah melarikan diri, mencari keselamatan di tempat lain,” katanya yang masih bertahan kerana sudah menyimpan stok makanan untuk beberapa hari.

Bagaimanapun, beliau tetap bimbang jika operasi ini berlanjutan menyebabkan bekalan makanan sedia ada tidak boleh bertahan lama.

“Kami merancang untuk dua atau tiga hari, bukan satu atau dua minggu,” katanya.

Ketika perang Israel-Hamas hampir mencecah setahun, Menteri Pertahanan, Yoav Gallant menekankan keperluan pasukannya untuk menentang kebangkitan keganasan di Tebing Barat.

Dalam keganasan baharu, Kementerian Kesihatan mengesahkan lima terbunuh dalam serangan Israel terhadap sebuah kereta di kawasan Tubas selatan Jenin.

Bandar Jenin dan kem pelarian bersebelahan sekian lama menjadi kubu kumpulan pejuang Palestin yang memerangi Israel.

Walaupun Hamas tidak aktif di Tebing Barat, tinjauan pendapat menunjukkan popularitinya berkembang dalam kalangan rakyat Palestin semasa perang Gaza.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×