Sarcoma pemakan tulang kaki, tangan kanak-kanak

Sarcoma pemakan tulang kaki, tangan kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAFIDAH Samsudi tidak menyangka bengkak di paha kiri anaknya Nik Nizar Huzaifi Nik Mohd. Yusri itu adalah petanda sarcoma. 

Nik Nizar Huzaifi ketika itu baru berusia 13 tahun dan mengadu sakit kerana pahanya bengkak tetapi tidak lama selepas itu, sakit itu menghilang dengan sendirinya walaupun masih bengkak. 

“Dua tiga minggu selepas anak saya menerima suntikan vaksin Covid-19 pada 2021, timbul bengkak pada pahanya. Saya  fikir ia salah satu kesan sampingan vaksin saja dan tunggu ia surut. 

“Selepas dua tiga minggu masih bengkak lagi, kami bawanya beberapa kali pergi ke klinik, tapi doktor di klinik pun tidak pernah berdepan kes seperti ini. 

Klinik terakhir meminta kami bawa anak ke hospital,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Rafidah terkejut apabila Nik Nizar Huzaifi disahkan kanser sarcoma pada Mac 2022, suatu perkataan yang tidak pernah didengari atau tahu mengenainya sebelum ini. 

Anaknya itu mula menerima rawatan pada 1 April sehingga Disember 2022.

“Menurut doktor, sarcoma itu hanya setempat dan masih belum merebak lagi. 

“Sebahagian tulang femur Nik Nizar Huzaifi yang terkesan dengan sarcoma terpaksa dikeluarkan dan tulang di bahagian itu diganti dengan sebatang besi titanium sepanjang 14 sentimeter. 

“Dia juga perlu menjalani kemoterapi sebanyak enam kitaran bermula daripada 1 April sehingga Disember 2022,” katanya. 

Cabaran di peringkat rawatan kemoterapi memang tidak dapat dinafikan. 

Pada tahun pertama, setiap tiga bulan Nik Nizar Huzaifi perlu menjalani pemeriksaan imbasan tulang. Pemeriksaan kesihatan pula dijalankan selepas dua tahun setiap enam bulan saja termasuk menjalani skan tulang. 

Rafidah bersyukur, biarpun tidak boleh menjalani aktiviti lasak tetapi anaknya sudah boleh berjalan seperti biasa dan kembali ke sekolah tahun lepas. 

“Sebagai ibu, saya positif anak boleh sembuh walaupun bimbang kerana sebahagian tulang pahanya terpaksa dibuang. Apa yang penting, dia kena ikut rawatan disyorkan doktor. 

“Kalau ada pembengkakan pada kaki anak, segeralah bawa menjalani pemeriksaan kerana dikhuatiri sarcoma yang boleh merebak dengan cepat,” katanya. 

Katanya Kumpulan Sokongan Pesakit Sarcoma yang dilancarkan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM, baru-baru ini sangat bermakna bagi ibu bapa dan pesakit sarcoma. 

Ia bertujuan memberikan kesedaran mengenai penyakit Sarcoma dan memudahkan kefahaman mengenai penyakit ini kepada pesakit dan keluarga mereka selain memberi harapan menyelamatkan nyawa pesakit.

Pesakit dan ibu bapa juga boleh meraih pengalaman positif daripada mereka yang berjaya sembuh dengan mendapatkan rawatan betul. 

KANSER BERBEZA 

Sarcoma adalah ketumbuhan malignan yang jarang berlaku.

Ia timbul pada tulang dan tisu lembut, termasuk lemak, otot, saluran darah, saraf dan tisu kulit. 

Ia berbeza daripada bentuk kanser lain dalam sel asalnya.

Terdapat lebih daripada 70 jenis sarcoma tapi yang sering berlaku adalah Ewing Sarcoma, Osteosarcoma, Liposarcomas, Synovial Sarcoma, Condrosarcoma dan Rhabdomayosarcomas.

Osteosarcoma adalah kanser tulang primer atau sarcoma tulang yang bermula daripada sel-sel tulang, adalah sejenis penyakit yang menyerang sebilangan kecil individu saja dalam masyarakat (0.2 peratus daripada semua kanser). 

Ketua Unit Tumor Muskoskeletal, Jabatan Ortopedik dan Traumatologi HCTM UKM, Prof. Madya Dr. Nor Hazla Mohamed Haflah berkata, tulang yang kerap terjejas adalah tulang paha, kaki dan lengan (fumer, tibia dan humerus). 

“Sarcoma adalah sejenis kanser yang berasal daripada tulang dan otot-otot. Ada 70 jenis kanser tapi selalunya membabitkan tulang atau osteosarcoma, tisu lembut daripada otot, saraf dan kanser yang berasal dari lemak-lemak. 

“Sel kanser sarcoma berbeza dengan sel kanser lain tetapi bahayanya adalah sama. Ia boleh berlaku ke atas semua lapisan usia. Kalau tulang boleh berlaku pada orang muda, dewasa dan kanak-kanak,” katanya pada Sambutan Minggu Sarcoma Peringkat HCTM UKM 2024  dan ulangtahun unit Tumor Muskoskeletak Ke-15, baru-baru ini. 

Turut hadir, Pengarah HCTM Datuk Dr. Azmi Baharudin dan Pro Naib Canselor Kampus Kuala Lumpur, Prof. Datuk Dr. Hanafiah Harunarashid yang merasmikan majlis. 

Sarcoma jarang berlaku dan hanya membabitkan kira-kira satu peratus pesakit di seluruh dunia. 

Pesakit paling muda pernah dirawat oleh Dr. Nor Hazla hanya berusia lima tahun, namun kebanyakan pesakit di HCTM berusia dalam lingkungan sembilan hingga 15 tahun. 

“Osteosarcoma dan Ewing sarcoma banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak. 

Ia bermula dari satu tulang, sekiranya ia tidak dirawat, ia akan merebak dan kebiasaannya ke paru-paru kemudian tulang lain. 

“Sejak 15 tahun lalu, unit kami sudah menjalankan kirakira 600 pembedahan ke atas pesakit sarcoma. Sebenarnya, ramai tidak tahun sarcoma dan pesakit juga tidak dirujuk kepada unit kami,” katanya. 

BENGKAK LAMA 

Gejala utama osteosarcoma adalah sakit dan bengkak pada anggota terkesan dan boleh berlarutan dalam masa dua hingga tiga bulan. 

Dr. Nor Hazla berkata, bengkak boleh menjadi lebih besar dan sesetengah bengkak boleh berlarutan sehingga berpuluh tahun lamanya. 

“Bagaimanapun kebarangkalian berlaku sarcoma bagi bengkak yang melebihi 10 tahun ke atas adalah kurang dan bukan kanser. Ada juga yang asalnya bukan kanser tetapi berubah lama kelamaan menjadi kanser. 

“Jangan tunggu dan biar saja apabila ada bengkak pada kaki atau tangan. Segera berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan,” katanya. 

Bagi sarcoma tulang, biasanya ia akan bermula dengan sakit dulu dan lamakelamaan akan nampak bengkak pada bahagian terbabit.

Berbeza dengan sarcoma yang berlaku pada tisu lembut, bermula dengan bengkak terlebih dulu dan sakit selepas sudah lama bengkak. Kesakitan dialami bergantung kepada sel yang terbabit. 

Sebagai contoh, sekiranya ia berlaku di kaki, pesakit biasanya susah hendak berjalan sebaliknya jika berlaku di tangan, pesakif susah hendak memegang. 

“Ramai pesakit mengalami gejala tetapi tidak datang ke hospital kerana tidak rasa sebarang sakit. Ini menyebabkan pesakit lewat mendapat rawatan dan sarcoma sudah merebak. 

“Ramai tidak tahu dan tidak mendapatkan rawatan. 

Justeru, amat penting untuk meningkatkan kesedaran kepada orang ramai termasuk pengamal perubatan dalaman,” katanya. 

Justeru, program khas dijalankan oleh HCTM UKM untuk pengamal perubatan am bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai sarcoma. 

Ini bagi mengelakkan kesilapan mengesan dan memberikan rawatan kepada pesakit yang dikhuatiri boleh menjejaskan rawatan di kemudian hari 

 

Elak pemotongan anggota

KERJASAMA antara pelbagai disiplin perubatan termasuk pakar tulang, onkologi, radiologi, patologi, rehabilitasi, ahli fisioterapi dan terapi pekerjaan diperlukan bagi mengesan dan merawat sarcoma. 

Pakar perubatan akan menganalisis sejarah pesakit dan menjalankan pemeriksaan  zikal secara menyeluruh dan teliti. 

Pengesanan akan dibantu dengan imej radiologi tulang yang terkesan termasuk CT Skan dan MRI. 

Sampel tisu diambil bagi diagnosis muktamad. 

Rawatan osteosarcoma terdiri daripada kemoterapi dan pembedahan. 

Prosedur kemoterapi neoadjuvant dijalankan sebelum pembedahan, bertujuan mengurangkan saiz kanser bagi memudahkan pembedahan. 

Pakar Onkologi akan memantau kesan sampingan kemoterapi serta menyelaraskan prosedur pembedahan dengan pakar bedah. 

Dr. Nor Hazla berkata, rawatan untuk sarcoma agak kompleks dan mengambil masa lama iaitu tidak kurang daripada enam bulan. 

“Rawatan juga boleh meninggalkan banyak komplikasi. 

“Dalam keadaan tertentu di mana terdapat kecederaan tisu lembut yang meluas atau pembabitan salur darah dan saraf utama, penghidap memerlukan amputasi atau pemotongan anggota badan bagi memastikan sel kanser dibuang sepenuhnya. 

“Seluruh bahagian tulang yang terkesan oleh kanser akan dibuang. Beberapa pilihan kaedah akan digunakan untuk menggantikan bahagian tulang yang dibuang. Bahagian tulang tersebut akan digantikan dengan endoprestosis atau graf tulang,” katanya. 

Pembedahan amputasi biasanya mengambil masa selama dua sehingga 16 jam. 

Manakala dua jam lagi adalah proses memasukkan besi. Sekiranya lebih kompleks, pembedahan juga boleh membabitkan pelbagai pakar seperti pembedahan plastik dan onkologi. 

Tulang besi atau tulang ganti mampu bertahan seumur hidup dengan syarat pesakit tidak terlalu lasak atau aktif bagi mengelakkan tulang yang diperbuat daripada titanium cepat haus. 

Kata Dr. Nor Hazla , selepas pembedahan, rawatan tidak berhenti di situ saja. 

Pesakit perlu menjalani fisioterapi dan proses rawatan akan mengganggu gaya hidup mereka untuk beberapa tahun. 

“Pesakit perlu dipantau untuk sebarang komplikasi dan memastikan kanser tidak berulang. Kemajuan dalam kemoterapi, pengimejan radiologi dan pembedahan, mampu meningkatkan kadar jangka hayat pesakit. 

“Teknologi canggih hari ini juga, boleh menyelamatkan kaki dan tangan berbanding sebelum ini, di mana kaki dan tangan pesakit terpaksa di potong,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×