SABAN hari, ada sahaja kes-kes buli sama ada fizikal atau mental meniti di garis masa media sosial. Seperti tidak ada penyudah, ada sahaja kemunculan kelompok pembuli.
Mengambil inspirasi daripada pelbagai kisah buli yang berlaku secara umum atau tidak, penerbit dan pengarah prolifik, Roy Krishna tampil dengan filem bergenre suspen-thriller, Hukum: Kifarah yang mengangkat kisah buli.
“Kita sedia maklum, kes buli memang ada sahaja berlaku di sekitar kehidupan kita. Ada di sekolah, di kawasan kejiranan di universiti mahupun di tempat kerja. Malah, sekarang pembuli siber lebih berani.
“Jadi saya fikir, ini masa terbaik untuk terbitkan sebuah filem yang boleh memberi penonton pengajaran khususnya generasi muda untuk tidak membuli. Kita tak dapat apa-apa pun daripada buli.
“Sesebuah filem tidak hanya perlu ada jalan cerita, tetapi juga perlu ada pengajaran yang boleh diambil. Sebab itu saya terbitkan filem ini” ujarnya.
Walaupun Roy lebih dikenali sebagai pengarah filem bergenre seram-thriller, namun dia menerima pelbagai permintaan daripada peminat filem tempatan untuk mengembalikan era naskhah pertamanya, Apa Tengok Tengok (2011).
“Saya memang sudah lama tidak mengarahkan filem di luar genre seram, tetapi bila baca komen-komen di YouTube, ramai yang mahu saya kembali dengan karya suspen-thriller dan kemasyarakatan pula.
“Bukan sebab persaingan filem seram sekarang semakin sengit, tetapi saya mahu terbitkan filem yang ada nilai komersial dan sesuai untuk tontonan semua lapisan masyarakat terutama pelajar sekolah,” kongsinya.
Bakal menampilkan pelakon-pelakon handalan antaranya, Roy berkata, dia juga bakal mengadakan sesi uji bakat mencari wajah baharu untuk diketengahkan dalam filem tersebut.
“Saya percaya, kita mempunyai bakat-bakat lakonan hebat cuma mungkin belum diberi peluang. Sebab itu saya tidak kisah untuk turun padang sendiri, mencari bakat baharu yang berminat.
“Sesi ujibakat akan diadakan di Angsana Johor Bahru Mall pada 27 Oktober depan bermula 11 pagi sehingga 6 petang. Tidak kira siapa pun anda, ada pengalaman atau tidak, boleh datang cuba,” ujarnya.
Hukum: Kifarah yang merupakan kerjasama penerbit, Captain Palani (Captain Film Makers Sdn. Bhd) dan Redfiress Film Production itu bakal memulakan penggambaran tidak lama lagi.
TIGA FILEM 2025
Bakal tampil dengan tiga buah filem baharu untuk 2025, Roy berkata, mengarahkan sesebuah filem suspen-thriller bukanlah cabaran sebenar untuk seorang sutradara namun pengisian dan daya penarik karya tersebut.
“Macam saya sendiri, apabila menerbitkan sesebuah filem, apa yang paling penting adalah bagaimana memastikan karya itu dapat menambat hati penonton di pelbagai lapisan umur dan masyarakat.
“Setiap pengarah mempunyai cara tersendiri dan jiwa masing-masing. Ada yang suka genre seram, romantis dan aksi. Macam saya, terbuka asalkan filem itu ada nilai moral dan positiviti,” ujarnya.
Sudah berpengalaman mengarahkan 35 buah filem Melayu, Cina dan Tamil, pengarah itu juga mahu penonton tidak terlalu stres dan hanya menikmati karya terbitannya selari dengan duit yang dikeluarkan.
“Sesebuah filem itu memang perlu ada nilai komersial dan hiburan tetapi paling penting, moral of the story. Tak boleh sekadar berhibur sahaja,” katanya.-UTUSAN











