Jika bukan kerana Maya Karin

Jika bukan kerana Maya Karin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Nampaknya, penantian selama 16 tahun peminat untuk menyaksikan kemunculan Maya Karin sebagai ‘ seekor’ Duyung akhirnya terlerai apabila filem yang cukup popular tahun 2008 itu bakal diterbitkan semula dalam versi baharu pada tahun depan.

Tentu sahaja, kalau bukan kerana Maya, maka sekuel filem ini tidak akan dianggap sebagai ‘wajib tonton’ kerana filem terdahulu menyaksikan aktres inilah yang memegang watak Duyung dengan nama Puteri.

Malah, tidak keterlaluan sekiranya dianggap Maya adalah tumpuan utama dalam filem terbitan Kru Studios sewaktu pertama kali ia dibawakan ke layar perak.

Maklum sahajalah, siapa sahaja yang tidak berminat untuk melihat duyung bukan? Kisah-kisah dongeng tentang duyung juga sudah sekian lama menjadi bahan bualan dan cerita warisan yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Menyedari betapa kuatnya penangan filem Duyung di kalangan penggemar filem tempatan, maka, tiada sebab untuk Maya menolak permintaan peminat untuk dia kembali menjadi Puteri.

Namun, untuk mewujudkan atau menghasilkan filem ini bukan mudah. Bagi yang tidak tahu, sebenarnya, pujukan demi pujukan telah lama dilakukan oleh aktres ini sendiri kepada pihak Kru Studios dan pengarahnya, Datuk Prof. Dr. A. Razak Mohaideen.

Dari tahun ke tahun, Maya mengakui, dialah yang berusaha membawa ‘petisyen’ ini gara-gara sudah terlalu kerap ditanya dan diminta oleh peminat mengenai wataknya dalam Duyung.

“Selama ini, begitu ramai peminat saya asyik bertanya bilakah sambungan filem Duyung akan diwujudkan? Saya sentiasa mendapat dua pertanyaan ini iaitu sama ada watak Duyung atau Pontianak.

“Jadi ia membuatkan saya rasa perlu lakukannya juga. Disebabkan itu, saya usaha pujuk Datuk Norman Ab Halim dan Prof Razak untuk buat filem sekuel ini walaupun tahu ada cabarannya.

“Sebenarnya, saya seronok bila filem ini menjadi kesukaan anak-anak Malaysia terutama yang pernah membesar menonton filem ini. Kalau tengok di YouTube, sudah berjuta orang yang menonton. Sayang kalau tak buat sekarang,” katanya.

Maya berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pengumuman barisan pelakon filem Duyung: Lagenda Aurora baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, Maya atau nama sebenarnya, Maya Karin Roelcke meluahkan rasa terharu kerana rata-rata peminat masih memberi ‘restu’ untuknya membawakan watak duyung meskipun usianya telah mencecah 45 tahun.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada semua yang suka dan nak tengok saya kembali sebagai duyung. Itu bermakna saya masih di hati anda semua sebagai pontianak dan duyung.

“Tapi dalam setiap sekuel itu mesti akan ada pembaharuan dan kelainan. Kalau tidak orang alan cakap ini sama sahaja macam yang lama,”katanya.

Pada masa yang sama, Maya tidak menolak, penonton mungkin akan membandingkan hasil kerja filem Duyung tempatan dengan filem aksi animasi Little Mermaid yang diterbitkan Disney sekitar tahun lalu.

Namun, pelakon ini optimis bahawa nakshah filem anak tempatan juga mampu berada di hati penonton dan peminat tanpa menyamakannya dengan filem di Barat.

“Itu juga terpulang kepada pihak produksi tentang bagaimana mereka nak olah dan susun penceritaan ini dengan menarik,” ujarnya.

Tapi kalau kita tengok filem Duyung yang pertama pun kos produksi sangat tinggi.

“Kualiti filem bagus,set, sinematografi, kostum semua bagus. Ia sebuah filem yang sangat mengagumkan. Saya tahu filem begini sangat teknikal. Ia memang nampak menyeronokkan, warna-warni macam filem yang sesuai untuk kanak-kanak, tetapi ia sangat teknikal.

“Macam saya pernah cakap, ia tidak mudah sebab banyak cabaran fizikal dan mental. Kru yang bertugas pun, tak senang nak kendalikan kamera di dalam air termasuk di permukaan, dilambung ombak lagi dan sebagainya,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×