Keberangkatan Raja MudaSelangor mengujakan rakyat

Keberangkatan Raja Muda Selangor mengujakan rakyat

TENGKU Amir Shah (tengah)dan Noraini bergambar bersama tetamu di Laman Seni Safari. – ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBERANGKATAN Raja Muda Selangor, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah menuju ke Bandar Diraja Klang menaiki kereta api KTM Komuter untuk Program Eksplorasi Gagasan Rumpun Selangor (GRS) baru-baru ini amat dinanti-nantikan rakyat jelata.

Baginda berangkat dari Stesen Shah Alam pukul 9.05 pagi dan tiba di Stesen Klang pada 9.25 pagi.

Datuk Bandar Klang, Datuk Noraini Roslan, berkata kehadiran baginda melawat sekitar bandar Klang sempena program GRS mengujakan bukan sahaja rakyat jelata malahan warga Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan lain-lain agensi kerajaan negeri di daerah tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keramahan baginda melayan rakyat pelbagai bangsa dan langsung tidak kekok melayan permintaan untuk berswafoto mengujakan rakyat. Antara lokasi menjadi tumpuan orang ramai yang dilawati baginda ialah Chong Kok Kopitiam.

“Selain mencemar duli bersantap di situ, baginda turut melihat sendiri keunikan kedai tersebut sebab semua bangsa datang makan di situ,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Diiringi Exco Perpaduan Selangor, Datuk Rizam Ismail, Tengku Amir Shah meluang masa menaiki bas pelancongan dua tingkat Hop-On Hop-O(HOHO) sejauh hampir tiga kilometer menuju Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang untuk sesi taklimat agensi kerajaan.

Program GRS membuka ruang MBDK dan agensi lain, memaparkan secara tuntas kepada Raja Muda Selangor usaha-usaha dilakukan pihaknya dan pihak berautoriti lain untuk menjadikan Bandar Diraja Klang antara destinasi pelancongan utama sempena Tahun Melawat Selangor tahun hadapan.

Usai bersantap Raja Muda turut berkenan menaiki skuter elektrik meninjau beberapa kawasan bersejarah di situ.

Ujar Noraini, ketika melawat Kedai Pandan Layer Cake yang wujud sejak 47 tahun lalu, baginda turut menyaksikan proses menghias kek yang dikhaskan kepada baginda.

“Pada sebelah petang hari pertama program GRS baginda berkenan melawat ke beberapa tempat menarik termasuk ladang ternakan rusa dan ladang buah tembikai wangi (rock melon) di Kampung Perepat, Kapar.

“Sebelah malam Tengku Amir Shah mengadakan acara santai bersama golongan belia di Jambatan Kota Lama dan Kota Raja Mahadi,” jelasnya.

KLANG SELAMAT

Klang bandar selamat dihuni mahupun dilawati siang dan malam dan bukan seperti yang dimomokkan pihak tertentu hingga timbul gelaran yang tidak sepatutnya di media sosial.

Tegas Noraini Bandar Diraja Klang selamat malah acaraacara sempena GRS, diadakan malam dan siang termasuk pembukaan semula bahagian bawah Jambatan Kota pada sebelah malam.

Katanya, segmen pencahayaan lampu berwarna-warni bukan sahaja untuk keceriaan tetapi bagi memastikan Klang lebih hidup di malam hari.

“Penutupan Kawasan Jambatan Kota selama 12 minggu baru-baru ini bertujuan menaiktaraf dengan nilai RM700,000 untuk dijadikan ia lokasi pelancongan ikonik.

“Lokasi ini bukan sekadar laluan pejalan kaki, sebaliknya menjadi mercu tanda untuk memudahkan pelawat ke Masjid Bandar Diraja Klang dan Pasar Jawa yang memasarkan busana tradisional dan kelengkapan Aidilfitri,” katanya.

Selain menonjolkan lokasi menarik yang kaya dengan sejarah di sekitar Bandar Diraja Klang, GRS merupakan program yang menyemarakkan semangat perpaduan yang diteruskan ke daerah Klang.

Tambah Noraini, keberangkatan baginda untuk menjayakan GRS, menjadi pemangkin dan pembakar semangat bagi MBDK, PTD Klang dan lain lain-lain agensi kerajaan negeri menjayakan agenda ditetapkan.

SEMBILAN DAERAH

Menerusi belanjawan tahun ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan GRS bakal diadakan di sembilan daerah membabitkan peruntukan RM4.5 juta.

Setakat ini, program berkenaan sudah berlangsung di Hulu Selangor, Hulu Langat, Sepang, Petaling, Kuala Selangor dan Kuala Langat.

“Selepas ini di Sabak Bernam mana kala penutup di Gombak.

“Bermula Rabu hingga Jumaat minggu lalu, Tengku Amir Shah menjelajah ke seluruh Klang termasuk kawasan Pulau Ketam bagi menyantuni lebih ramai penduduk selain menjalankan beberapa aktiviti bersama rakyat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini