PETALING JAYA: Ketiadaan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani selaku beregu No. 2 negara dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuka peluang kepada gandingan muda untuk membuktikan kemampuan masing-masing.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Tan Bin Shen berkata, badan induk itu masih ada beberapa pasangan yang berbakat dan berpotensi menyerlahkan kemampuan untuk menandingi beregu terbaik dunia.
“Bagi saya ketiadaan mereka (Sze Fei-Nur Izzuddin) tidak beri impak. Sebab pada saya sekarang Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dan Wan Arif-Yap Roy King masih pasangan yang terbaik.
“Dengan Wei Chong-Kai Wun sekarang mempamerkan prestasi memberangsangkan dan mampu bersaing dalam Super 1000, ia tidak menggugat barisan beregu lelaki negara,” kata Bin Shen.
Ditanya lagi sekiranya mahu membawa Aaron Tai-Kang Khai Xin ke skuad senior, Bin Shen berkata beliau merancang akan membawa mereka selepas Kejohanan Remaja Dunia 2024 berakhir pada Oktober ini.
“Mereka (Aaron-Khai Xin) memang dalam perancangan kita. Sebab mereka masih remaja dan menyertai latihan bersama senior. Selepas kejohanan dunia (remaja) berakhir kami akan usahakan perancangan itu.
“Mereka ini menjadi prospek dalam perancangan kita untuk Sukan Olimpik Los Angeles 2028 nanti,” jelasnya.
Tambahnya, BAM akan menghantar beberapa pasangan untuk menyertai kejohanan seperti Terbuka Hong Kong, China dan beberapa kejohanan di Eropah.
Terdahulu, Sze Fei-Izzuddin mengambil keputusan untuk bergerak secara profesional serta BAM bersetuju untuk melepaskan mereka bermula 1 September lalu dan mereka menghadiahkan badan induk itu dengan muncul juara di Terbuka Jepun baru-baru ini.-UTUSAN










