HONG KONG: Syarikat penerbangan Cathay Pacific Airways membatalkan 22 lagi penerbangan dari 5 September hingga 7 September, untuk menjalankan pemeriksaan enjin pada Airbus A-350 miliknya.
Bagaimanapun, syarikat itu memberi jaminan operasi penerbangan akan disambung sepenuhnya menjelang Sabtu ini.
Pembatalan itu turut melibatkan empat penerbangan antara Singapura dan Hong Kong.
“Semua pelanggan yang terjejas sudah dimaklumkan dan diberi pilihan perjalanan alternatif melalui Cathay Pacific dan syarikat penerbangan lain yang sesuai,” katanya dalam satu kenyataan.
Pembatalan dibuat susulan syarikat penerbangan tersebut menemui 15 pesawat Airbus A350 yang memerlukan pembaikan berikutan kegagalan enjin semasa penerbangan minggu ini.
Pemeriksaan dan pembaikan pada enjin Rolls-Royce yang digunakan oleh armadanya menyebabkan syarikat penerbangan itu membatalkan 45 penerbangan pergi balik di kebanyakan laluan serantau Asia minggu ini.
Cathay Pacific turut memaklumkan, enam daripada 15 pesawatnya sudah dibaiki dan dibenarkan beroperasi.
Baki sembilan lagi dijangka diperbaiki dan kembali beroperasi pada 7 September ini.- REUTERS










