TANGGAL 17 Ogos lalu menyaksikan penganjuran sulung Malam Alumni Universiti Awam 2024 (MAL’24) oleh Majlis Alumni Universti Awam Malaysia (MALUMNI) bagi mengiktiraf para alumni yang berbakti pada masyarakat serta aktif menyumbang pada alma mater masing-masing.
Program yang dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi pengiktirafan Anugerah Ikon Alumni kepada Pengasas Pantau Iraga Art Space (Alumni Universiti Teknologi Mara, UiTM), Prof. Awang Damit Ahmad. Manakala dua tokoh alumni iaitu Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove Corporation Bhd. (Alumni Universiti Malaya, UM), Tan Sri Lim Wee Chai dan Ketua Eksekutif serta Naib Presiden Forest City Berhad (Alumni Universiti Teknologi Malaysia, UTM), Datuk Dr. Daing A. Malek, diiktiraf sebagai penerima Anugerah Alumni Kedermawanan.
Sebanyak 20 alumni yang mewakili pelbagai bidang dan industri juga menerima pengiktirafan Alumni Muda Harapan. Majlis pengiktirafan sulung ini secara tidak langsung menonjolkan Malaysia mempunyai barisan alumni yang hebat menjadi pemimpin organisasi, dermawan dan profesional yang lahir dari sistem pendidikan tinggi negara.
Alumni merupakan aset penting dalam memajukan pendidikan negara. Mereka bukan sahaja mewakili kejayaan institusi, tetapi juga memainkan peranan sebagai pemangkin dalam memperkukuhkan dan memperkembangkan ekosistem pendidikan negara. Sebagai bekas pelajar yang melalui sistem pendidikan, sudah pasti mempunyai pengalaman, pengetahuan, dan rangkaian yang boleh digunakan untuk menyokong institusi pendidikan dan pelajar semasa.
Impak positif program bersama alumni kepada pelajar dan institusi adalah untuk membina potensi kepimpinan pelajar, sekali gus dapat melestarikan jalinan hubungan antara alumni dengan warga universiti melalui perkongsian ilmu dan pengalaman. Ia juga mampu mengekalkan momentum kesepakatan antara universiti bersama alumni dengan menarik minat mereka di luar sana untuk program-program yang boleh merapatkan hubungan antara kedua-duanya.
Ini sekali gus dapat melonjakkan nama universiti itu sendiri sebagai penghubung utama antara pelajar dan alumni sebagai dorongan dan motivasi kepada kejayaan sesebuah institusi pendidikan.
DERMAWAN
Untuk menjadi pemangkin kepada pendidikan nasional, budaya dermawan dalam kalangan alumni mesti dijadikan amalan sepertimana budaya beralumni di universiti luar. Alumni sering kali memberi sumbangan kewangan kepada universiti mereka, sama ada dalam bentuk biasiswa, dana penyelidikan atau pembinaan infrastruktur.
Sumbangan ini membantu institusi untuk menawarkan lebih banyak peluang kepada pelajar dan meningkatkan kualiti pendidikan. Menyumbang dana kepada alma mater mereka dalam bentuk derma atau wakaf untuk tujuan pembangunan prasarana, biasiswa, penyelidikan dan membantu dalam pembiayaan pelajaran anak-anak yang kurang berkemampuan.
Sebagai contoh, Wee Chai melalui institusi Top Glove Corperation Bhd. banyak menyumbang kepada alma maternya iaitu UM, antaranya sumbangannya 18,000 unit sarung tangan kepada Fakulti Pergigian semasa pandemik Covid-19, bekerjasama mewujudkan Program Pengurusan Top Glove bersama UM dan memberikan banyak sumbangan kewangan serta komitmen dalam membantu menaik taraf Muzium Patalogi, di universiti berkenaan.
Manakala Daing pula rupanya banyak memberikan sumbangan dalam pelbagai tabung endowmen termasuk Tabung Covid-19 di UTM dan aktif menyalurkan bantuan makanan kepada pelajar B40 di kampus.
Alumni juga boleh berperanan sebagai mentor kepada pelajar atau menawarkan bimbingan dalam bidang akademik dan kerjaya. Ini boleh membantu pelajar membuat keputusan yang lebih baik tentang laluan kerjaya dan mempersiapkan mereka untuk cabaran dunia pekerjaan.
JARINGAN PROFESIONAL
Alumni memiliki jaringan profesional yang luas yang boleh digunakan untuk memberi manfaat kepada institusi dan pelajar. Melalui jaringan ini, universiti boleh mendapatkan peluang kolaborasi dengan industri, serta menyediakan latihan amali dan peluang pekerjaan kepada pelajar.
Selain itu, kelebihan lain ialah menyediakan rangkaian yang luas kepada pelajar semasa dan graduan baharu dalam bentuk mentor, peluang latihan industri serta penempatan kerja.
Alumni yang berjaya dalam bidang mereka dapat menyumbang kepada pembangunan kurikulum yang relevan dengan keperluan industri semasa. Ini memastikan bahawa pendidikan yang diberikan adalah selaras dengan kehendak pasaran pekerjaan, yang seterusnya meningkatkan kebolehpasaran graduan. Dengan pengalaman industri, alumni boleh membantu dalam memperkemas kurikulum agar relevan dengan kehendak pasaran kerja yang sentiasa berubah.
Kejayaan alumni dalam pelbagai bidang turut menyumbang kepada peningkatan reputasi institusi pendidikan tinggi. Reputasi yang baik akan menarik lebih ramai pelajar berkualiti dan juga kakitangan akademik terbaik. Seterusnya memacu kecemerlangan institusi tersebut. Alumni juga boleh terlibat dalam projek-projek pembangunan komuniti yang dihubungkan dengan institusi mereka, membantu memupuk hubungan antara universiti dan masyarakat setempat malah di peringkat antarabangsa.
Seperti Dr. Omar Suleiman, alumni dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), merupakan pendakwah dan Presiden dan Pengasas Institut Kajian Islam Yaqeen yang banyak memainkan peranan di dunia barat dalam memperjuangkan hak asasi dan bantuan pendidikan khas serta kempen pemahaman Islam sejagat. Reputasi beliau menjadi cerminan kepada visi pendidikan universiti dan menjadi aspirasi teladan kepada pelajar yang sedang menuntut.
Secara keseluruhannya, alumni merupakan tonggak penting dalam membantu memastikan institusi pendidikan tinggi terus relevan, berjaya dan mampu menyediakan pembelajaran yang berkualiti tinggi kepada generasi akan datang. Alumni diperlukan kerana mereka memainkan peranan penting dalam menyokong dan memperkukuh institusi pendidikan serta memberi impak positif kepada pelajar, komuniti dan industri.
Dengan peranan-peranan ini, alumni bukan sahaja menjadi duta kepada institusi pendidikan tinggi mereka, tetapi juga menyumbang secara langsung kepada perkembangan dan kemajuan sistem pendidikan negara. Sebagai duta, alumni dapat mempromosikan kebaikan institusi pendidikan tinggi mereka kepada masyarakat, menarik lebih ramai pelajar dan juga pelaburan luar.
Justeru, peranan alumni sebagai pemangkin bukan sahaja membantu dalam memperkukuhkan kedudukan institusi pendidikan tinggi tetapi juga dalam memastikan kelangsungan dan kemajuan pendidikan di peringkat nasional dan seterusnya ke peringkat dunia.
Selaras dengan harapan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir yang juga Alumni, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melalui ucapan beliau semasa Majlis Malam MAL’24 tersebut agar keterlibatan yang lebih aktif dan kerjasama utuh daripada para alumni dalam kesediaan mereka menyumbang kembali kepada alma mater masing-masing bagi memperkasakan sektor pendidikan tinggi negara.-UTUSAN
ILMYZAT Ismail ialah Pengarah di Pejabat Perhubungan Alumni, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Norazilee Abd. Aziz ialah Timbalan Pengarah Kanan di Sultan Ahmad Shah Medical Centre, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC @UIAM), Kuantan.










