JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkaitan pencemaran bau di Sungai Pandan, di sini semalam.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, laporan penuh itu akan membantu pihaknya mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak bertanggungjawab menyebabkan pencemaran tersebut.
“Selain itu, kita juga sedang memantau situasi terkini pencemaran itu di lokasi. Sebelum ini pencemaran bau dilaporkan telah memasuki kawasan kediaman di sekitar Plentong.
“JAS sedang melakukan siasatan dan apabila laporan penuh diperoleh, jika kita dapati ada kilang yang terlibat tindakan tegas akan diambil termasuk menyita premis berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini hari ini.
Mohd. Noorazam berkata, tindakan tegas perlu diambil kerana Sungai Pandan yang juga dikenali sebagai Sungai Tebrau merupakan salah satu daripada sungai utama di bandar raya ini.
“Aliran sungai itu turut bersambung sehingga ke sungai-sungai di Kulai dan Iskandar Puteri,” jelasnya.
Semalam, media melaporkan penduduk di sekitar Taman Daya, Taman Istimewa dan Seri Austin di sini mengadu mengalami pening dan loya akibat terhidu bau kimia di kawasan kediaman mereka.
Pencemar bau tersebut turut menyebabkan sebuah tadika dan sebuah sekolah agama di kawasan berhampiran ditutup. – UTUSAN











