Aaron-Wooi Yik akur jika terlepas Jelajah Dunia

Aaron-Wooi Yik akur jika terlepas Jelajah Dunia

Soh Wooi Yik (kiri) masih berdepan kecederaan - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peluang beregu No.1 negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk layak ke Kejohanan Akhir Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semakin samar.

Ini selepas Soh Wooi Yik masih dibelenggu kecederaan kaki kanan yang menimpanya semasa perlawanan penentuan gangsa Sukan Olimpik Paris 2024, bulan lalu.

Pemenang pingat gangsa Olimpik Paris itu kini menghuni rangking ke-9 Jelajah Dunia dan peraturan menyaksikan hanya lapan teratas sahaja yang layak ke kejohanan terbabit.

Menurut Aaron, beliau kini meneruskan latihan seperti biasa dan hanya menunggu Wooi Yik pulih untuk kembali menyertai kejohanan antarabangsa bagi mengutip mata ranking.

“Kecederaan (Wooi Yik) kita tidak tahu bila akan sembuh. Jadi saya hanya meneruskan latihan seperti biasa. Kami ada baki lima hingga enam kejohanan lagi.

“Kalau masuk (Jelajah Dunia) memang rezeki kita. Tapi jika kita gagal kami akan menyasarkan pada tahun depan,” kata Aaron ketika ditemui pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), semalam.

Sebelum ini, pengarah kejurulatihan ABM, Rexy Mainaky mendedahkan Wooi Yik berkemungkinan mengambil masa lama untuk pulih.

Kecederaan itu menyaksikan beregu No.3 dunia itu terpaksa menarik diri Terbuka Jepun dan Korea Selatan pada bulan lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×