MUKADIMAH
UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) pada Ogos lalu menyambut ulang tahun jubli perak sebagai sebuah universiti, bahkan UiTM sebagai institusi pendidikan sudah pun menjangkau 68 tahun, setahun lebih tua daripada kemerdekaan negara.
Justeru, universiti terbesar itu melalui dua fasa cabaran yang sama iaitu mengangkat martabat orang Melayu dan bumiputera, tetapi penyelesaiannya berbeza.
Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD ATHIR ISMAIL dan jurugambar SADDAM YUSOFF, Naib Canselor UiTM, PROF. DATUK DR. SHAHRIN SAHIB @ SAHIBUDDIN berkongsi usaha merapat kesenjangan ekonomi orang Melayu, bumiputera yang berlaku pada hari ini.
UTUSAN: Kenapa UiTM amat penting dahulu dan sekarang?
SHAHRIN SAHIB @ SAHIBUDDIN: Kerana, dalam tekanan yang dihadapi UiTM, serangan ataupun pertanyaan datang daripada orang Melayu sendiri. Sebagai contoh, bagi orang Melayu yang sudah pun terbela, mereka sudah beberapa generasi menikmati apa yang dibantu oleh kerajaan dahulu, mereka sudah tidak memerlukan tongkat itu dan mereka mempersoal kenapa masih lagi perlu.
Kerana, memang betul mereka tidak perlukan dan itu timbul persoalan, walhal majoriti mereka yang dalam kumpulan B40 masih berada dalam kemelut itu dan memerlukan bantuan.
Memang bagi mereka (yang sudah terbela) tidak relevan sebab mereka memang tidak memerlukan dan itulah seperti yang saya katakan sampai bila UiTM berperanan begitu.
Jawapan saya muda dalam konteks kedudukan ekonomi sehinggalah negara kita menjadi sebuah negara yang utopia.
Kenapa utopia, apa yang dijadikan ukuran?
Contoh, kalau kita lihat sejarah Islam pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, hendak beri zakat tetapi tiada orang boleh terima. Kalau negara kita sampai peringkat itu, saya rasa UiTM sudah tak relevan.
Maksudnya ketika itu peranan UiTM sudah selesai?
Maknanya, apa petandanya kalau ‘kambing lalu serigala tak makan’. Maknanya betapa negara itu makmur sampai pada peringkat kemakmuran itu dinikmati bukan sahaja oleh manusia malah haiwan pun menikmatinya.
Walaupun bunyinya macam utopia, tetapi dari segi sejarah berlaku begitu.
Jadi UiTM masih mempunyai perjalanan yang masih panjang?
Berbalik kepada realiti sekarang, maknanya kita perlu terus berusaha saya guna ayat begini, UiTM menyelesaikan masalah orang Melayu, Orang Asli dan anak negeri Sabah dan Sarawak, memajukan mereka itu maka majulah Malaysia.
UiTM masih terus berperanan, peranannya lebih mencabar. Berbalik kepada sambutan 25 tahun, kita meraikan pencapaian sehingga kini tetapi kita juga dalam melihat kebelakang pencapaian itu, kita melihat kedepan betapa besarnya cabaran pada hari ini.
Itu hasrat yang kita bawa dan kenapa kita raikan 25 tahun, UiTM dalam 68 tahun kewujudannya sudah pun melakukan perkara-perkara besar, sebab kita bersyukur dengan nikmat yang Allah beri, kita juga mengatakan kepada semua warga UiTM, alumni dan semua yang meneruskan perjuangan, itulah sumbangan besar mereka buat kepada negara
Mesti banyak perubahan dan cabaran, bagaimana respon UiTM?
Bagaimana UiTM yang sebesar itu pada hari ini, boleh jadi responsif, itulah juga yang saya katakan dalam zaman pasca normal (PNT), penyelesaiannya macam saya kata ‘telan mati emak, luah mati bapa’.
Tetapi, sekiranya kita tidak membuat sesuatu, tidak akan ada perubahan, maka di situlah pada waktu ini UiTM berdepan dalam keadaan perlu membuat satu keputusan yang sukar yang pastinya ia dibuat akan ada implikasi besar yang perlu ditanggung.
Masih ada yang pertikai UiTM guna bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar?
Itulah paradoks ataupun kontradiksi yang kita hadapi, UiTM mengambil pelajar bumiputera, ia berpegang kepada Perkara 153, Perlembagaan Persekutuan, apabila Yang di-Pertuan Agong memastikan reserve (hak) orang Melayu untuk pendidikan, pekerjaan dan sebagainya.
Tetapi, pada masa sama, UiTM menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium utama, sepatutnya untuk melindungi Perkara 153, kita melindungi Perkara 152, bahasa Kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Itu yang saya kata paradoks tadi.
Jadi pakai bahasa Melayu atau bahasa Inggeris?
Kita universiti bumiputera, orang Melayu, kita guna bahasa Melayu sahajalah, tidak akan menyelesaikan masalah. Disitu berlakulah pengimbangan penggunaan bahasa Melayu tetapi dikukuhkan penguasaan bahasa kedua, ketiga dan keempat, pun sekarang kita berbicara begitu.
UiTM dengan 34 cawangan, adakah perlu ditambah atau sudah menepati keperluan?
Kita berdepan dengan keadaan orang mahukan keanjalan, anak-anak yang mahu diberi pilihan, keputusan perlu dibuat pantas. Maknanya toleransi pada hari ini, seperti mana mereka membuka telefon bimbit, buka satu pautan, klik terus keluar.
Kita berada dalam keadaan begitu, maka untuk menjawab keperluan itu, keseluruhan keperluan struktur di UiTM sekarang melihat satu sistem maknanya model itu dan kita ada konsep pelbagai kampus, mempunyai autonominya sendiri.
Kenapa autonomi?
Kita berada dalam keadaan sekarang ini untuk istilahnya, menipiskan organisasi supaya tidak menjadi birokrasi. Kita melihat kepada konsep dalam PNT, untuk anda mengawal, anda perlu memberi kawalan.
Itulah konsep yang penting, kalau kita lihat dalam konsep Madani, enam prinsipnya antaranya adalah keyakinan ihsan, salah satu yang terpenting itu adalah kepercayaan.
Bagaimana menjaga integriti dan ketelusannya?
Jadi, cabaran kita pada hari ini untuk menyediakan pasti isu terkait adalah isu keterbukaan, ketelusan dan tatakelola, ia berbalik juga kepada kepercayaan.
Jadi, dalam konsep itulah berbalik kepada moto kami Usaha Takwa Mulia, kita terus berusaha dan memastikan warga UiTM adalah mereka yang bertakwa dan dalam konsep Madani berpegang kepada ihsan bermakna jika kita melakukan sesuatu seolah-olah kita nampak tuhan.
Bagaimana peranan UiTM menaikkan ekonomi bumiputera?
Betul, dahulu peranan ITM (Institut Teknologi Mara) lebih mudah, saya guna ayat lebih mudah walaupun fungsinya sama kerana miskin bandar bukan satu masalah besar. Tetapi hari ini dalam pola negara katalah kita ambil angka penduduk kita ada 33 juta, 21 juta bumiputera, (mereka) yang tinggal di luar bandar cuma enam juta, selebihnya di bandar.
Di luar bandar orang Melayu, bumiputera lebih senang?
Kemiskinan luar bandar tidak meruncing kerana mereka mempunyai jati diri boleh bercucuk tanam, mempunyai hasil kebun, tetapi kalau di bandar dalam istilah hutan batu, mereka hendak tanam apa.
Bagaimana keadaan itu dilihat secara realistik?
Ekonomi yang berasaskan pengetahuan, jadi cabaran UiTM pada hari ini adalah untuk kita gagaskan khususnya miskin bandar yang tidak mempunyai apa-apa. Itulah penyelesaiannya contoh, kenapa pada hari ini kita menekankan balik kepada Fakulti Muzik, Kolej Seni Kreatif dan sebagainya kerana kesenian dan hasil tangan orang Melayu itu di mana mereka berada, mereka mampu menghasilkan sesuatu.
Maksudnya, itu pekerjaan yang graduan UiTM boleh lakukan?
Itu tidak memerlukan modal dengan erti kata kalau mereka hendak hasilkan sesuatu, hujungnya memang betul perlukan modal. Contohnya kalau perlu untuk mereka bentuk contohnya corak alas meja yang baharu, dengan latihan kita berikan di bawah Kolej Seni Kreatif, mereka boleh hasilkan.
Ada yang sudah berjaya atau menjadi suri teladan?
Di Kelantan keluar Batik Kemuning; di Kedah, Batik Merbok dan baru-baru ini dengan Kerajaan Negeri Perlis, kita akan bantu untuk menghasilkan produk tempatan yang keseluruhannya berkait dengan Perlis.
Sampai Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail memberitahu mereka sudah ada tanjak, keris dan sebagainya, tetapi yang betul-betul beridentiti dan berjatidirikan Perlis. Sebab baginda kata tidak mahu tumpang Kedah atau Siam.
Ada suri teladan lain?
Di Kelantan kita ada Nasken Coffee, alumni ada sampai 34 cawangan sudah menggaji 400 orang. Kenapa? Hanya dengan idea dan fikiran, mereka boleh menghasilkan sesuatu produk dan perkhidmatan baharu dan boleh berkembang.
Pro Canselor, Tan Sri Sallehuddin Mohamed pernah tanya kepada saya berapa ramai hari ini yang UiTM sudah melahirkan usahawan Melayu, bukan kecil-kecilan, tetapi satu pengusaha yang konglomeratnya berupaya menggaji bukan sahaja 1,000 atau 2,000 orang tetapi rantaian sesuatu.
Jadi, graduan UiTM pada hari ini berupaya melakukan itu?
Jadi, itu yang saya bila ditanya itu saya diam, kerana itulah cabaran UiTM kena terus lakukan walaupun kita ada apa yang kita istilahkan cerita kejayaan, boleh tunjuklah itu graduan kita.-UTUSAN










