Johan hafazan cilik didedahkan dengan al-Quran seawal usia setahun - Utusan Malaysia

Johan hafazan cilik didedahkan dengan al-Quran seawal usia setahun

NUR Muhammad Al-Akhyar Noor Azam (kiri) menerima hadiah daripada Mohamad Wadi Annuar Ayub setelah muncul juara pertandingan Musabaqah Hafazan al-Quran Piala Ustaz Wadi Annuar 2024 di Akademi Darul Ilmi, Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Pendedahan dibuat ibunya dengan bacaan ayat suci al-Quran sejak berusia setahun membantu Nur Muhammad Al-Akhyar Noor Azam, 12, muncul juara sebuah pertandingan Musabaqah Hafazan al-Quran di daerah ini.

Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bakti, Kuala Nerang itu memperoleh markah penuh 100 peratus sekali gus melayakkannya untuk memenangi pertandingan tersebut dengan menewaskan 50 peserta lain.

Ibunya, Nor Hayati Abu, 45, berkata, anak ketiga daripada empat beradik itu sudah diberi pendedahan seawal usia setahun melalui kaedah pendengaran bacaan ayat-ayat al-Quran yang dibacanya.

Nor Hayati yang juga seorang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di SK Seri Bakti berkata, dia akan memperdengar bacaan ayat-ayat al-Quran kepada kesemua anaknya ketika mereka sudah mula hendak bercakap sebagai pendedahan awal.

“Alhamdulillah anak pertama sudah boleh menghafal 30 juzuk al-Quran ketika usia 15 tahun, manakala anak kedua dan Nur Muhammad kini dalam proses untuk menghafal semua juzuk al-Quran.

“Nur Muhammad sudah boleh menghafal ayat-ayat al-Quran dalam juzuk ke-30 dan beberapa ayat lain seperti surah al-Kahfi dan surah as-Sajdah sejak berusia enam tahun,” katanya ketika ditemui pada pertandingan Musabaqah Hafazan al-Quran Piala Ustaz Wadi Annuar 2024 di sini, semalam.

Jelas Nor Hayati, amalan lain yang dilakukan untuk mendidik anak-anaknya menghafal al-Quran adalah dengan menegur bacaan mereka ketika solat dan melarang pengambilan makanan yang syubhah atau mengambil hak orang lain.

“Selain itu, saya juga menghadkan pergaulan luar bagi mengelak anak-anak terdedah dengan budaya percakapan yang kurang baik. Hafazan ini memerlukan kegigihan anak-anak itu sendiri, kita tak boleh tolong untuk mereka ingat, tetapi apa yang kita mampu, bimbing mereka sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Akademi Darul Ilmi, Mohamad Wadi Annuar Ayub berkata, pertandingan yang julung kali diadakan itu berjaya mencungkil bakat huffaz cilik berusia 10 hingga 13 tahun.

Beliau berkata, penganjuran program itu juga adalah salah satu usaha murni yang dijalankan untuk menggalakkan anak-anak muda mendekatkan diri dengan al-Quran.

“Al-Quran adalah panduan hidup yang sempurna dan usaha menghafalnya adalah langkah pertama ke arah memahami serta mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian. Saya harap usaha ini menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi yang mencintai dan mengamalkan ajaran al-Quran,” katanya.

Dalam pertandingan itu, johan menerima wang tunai RM1,500 serta tawaran melanjutkan pelajaran di Akademi Darul Ilmi secara percuma dan RM1,000 bagi tempat kedua serta RM500 bagi tempat ketiga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×