GAZA: Tentera Israel mengumumkan penubuhan jawatan baharu ‘Ketua Gaza’, yang mencetuskan kebimbangan terhadap rancangan jangka panjang Tel Aviv di wilayah itu.
Jawatan itu dilihat bukan sekadar langkah sementara semasa perang, sebaliknya dipercayai bertujuan mengawasi makanan, bahan api dan infrastruktur kehidupan di Gaza untuk tempoh panjang, menurut sumber tentera kepada YNET News.
“Ini bukan pengurus projek, ini adalah jawatan yang akan kami kekalkan selama beberapa tahun akan datang atau untuk tempoh bertahun.
“Sesiapa yang berfikir kawalan dan penglibatan Israel di Gaza akan berakhir setelah pertempuran tamat atau perjanjian tebusan dicapai, adalah salah,” kata sumber tentera yang menekankan sifat jangka panjang jawatan itu.
Pelantikan Briged Jeneral dilihat sebagai penubuhan gabenor tetap de facto untuk Gaza, yang menimbulkan ketakutan bahawa Israel merancang menduduki kawasan pantai selama-lamanya.
Langkah itu berpotensi melengkapkan kempen pembersihan etnik yang bermula semasa tragedi Nakba 1948, apabila 750,000 rakyat Palestin dihalau dari tanah mereka.
Pengkritik berpendapat, langkah itu jelas menunjukkan niat Israel untuk mengekalkan kawalan terhadap hal ehwal awam di Gaza.
Tanggungjawab Ketua Gaza termasuk mengawasi bantuan kemanusiaan, menyelaraskan isu-isu awam dan mengurus pemulangan semula pelarian ke bandar Gaza serta projek pembinaan semula wilayah.
Organisasi hak asasi manusia dan penyokong Palestin bimbang terhadap perkembangan itu, yang membuktikan hasrat Israel untuk merampas kawalan di Gaza dan menafikan hak rakyat Palestin di tanah sendiri.
Sehingga kini, tentera Israel masih meneruskan operasi ketenteraan di Gaza yang mengakibatkan kemusnahan dan mengorbankan hampir 41,000 rakyat Palestin sejak perang tercetus pada 7 Oktober tahun lalu.










