SETIAP kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan, lagu-lagu yang membangkitkan semangat patriotik akan rancak dimainkan menerusi corong radio dan stesen televisyen (TV).
Dan antara karya patriotik yang paling ‘menangkap’ dan paling membekas bagi penulis adalah Jalur Gemilang, naskhah ciptaan komposer ternama, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain dan liriknya ditulis Siso Kopratasa.
Lagu tersebut terisi dengan bahasa yang cukup ringkas, namun makna dan pengertiannya besar dan mudah difahami.
Baru-baru ini saya berkesempatan menebual Siso bagi mendapatkan gambaran disebalik penghasilan lagu keramat itu.

Menurut pemilik nama sebenar Syed Indera Syed Omar itu, lirik lagu berkenaan ditulis dengan niat untuk mewujudkan rasa cinta terhadap bendera kebangsaan.
“Saya tidaklah mengambil masa yang lama untuk menulis liriknya, sekitar satu jam sahaja. Kebetulan pula pencipta nama Jalur Gemilang itu adalah biras saya sendiri iaitu Md. Redzuan Tumin. Jadi adalah juga saya bertanyakan kepada beliau serba sedikit mengenai nama tersebut.
Berdasarkan penjelasan Md. Redzuan, pada asalnya, tiga nama telah diusulkan untuk nama bendera kebangsaan. Namun, dalam beberapa cadangan itu, nama Jalur Gemilang yang diangkat kerajaan memerintah pada ketika itu.
“Banyak perkara yang masyarakat kita tidak tahu tentang bendera kebangsaan. Jadi disebabkan itu saya terpanggil untuk menceritakan perkara-perkara itu, termasuklah pengertian warna-warna Jalur Gemilang dan perkaitannya dengan kehidupan kita sebagai warga negara.
“Proses penghasilannya tidak rumit jika dibandingkan dengan lagu Keranamu Malaysia yang juga liriknya ditulis oleh saya. Sebelum menulis, saya kaji secara terperinci makna bagi setiap warna yang terdapat pada Jalur Gemilang,” katanya.
Terpanggil juga saya bertanyakan mengenai lagu Keranamu Malaysia yang juga menjadi antara lagu patriotik yang diangkat dan menjadi siulan segenap masyarakat.
Menurut Siso, lagu itu juga menyimpan mesej tersendiri, yang mana mengajak masyarakat untuk berterima kasih dan mencintai negara.
“Idea untuk menghasilkan Keranamu Malaysia tercetus apabila mantan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada ketika itu, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir meminta Pak Ngah menghasilkan sebuah lagu yang simbolik kepada rasa kasih dan cinta rakyat kepada negara.
“Sebaik menerima penerangan Pak Ngah, saya terus fikirkan mengenai jasa dan sumbangan negara kepada rakyat. Dan sebagai timbal balik, saya nukilkan juga suara hati rakyat dan rasa terima kasih mereka atas keharmonian dan kemajuan yang dikecapi sehingga waktu itu.
“Menerusi bait-bait liriknya, saya cuba sampaikan mesej bahawa sebagai rakyat, kita harus membalas apa yang kita nikmati dengan berbudi dan menabur jasa kepada negara.
“Sebagai penulis lirik lagu-lagu ini, tentunya saya gembira terhadap penerimaan masyarakat kepada Jalur Gemilang dan Keranamu Malaysia. Betapa bangganya saya apabila lagu-lagu ini dihafal dan dinyanyikan masyarakat termasuklah komuniti Orang Asli dan Felda. Ia adalah satu penghormatan buat saya,” kongsinya.

KELUARGA BERDARAH SENI
Siso atau nama sebenarnya Syed Indera Syed Omar, dibesarkan di Kampung Balok, Kuantan, Pahang.
Menurut seniman berusia 68 tahun ini, beliau dilahrikan dalam keluarga berdarah seni. Disebabkan memang sejak usia kanak-kanak lagi, Siso bercita-cita menjadi penyanyi.
“Darah seni mengalir dalam keluarga saya kerana ayah dan juga bapa saudara saya adalah pemuzik yang pandai bermain biola, gambus dan seruling.
“Saya memang berkeinginan menjadi penyanyi dan sewaktu remaja, bawah pokok itulah pentas saya.
“Tetapi tidak sangka saya terlebih dahulu menjadi pelakon apabila ditawarkan membintangi dua filemnya iaitu Kembara Seniman Jalanan dan Rozana Cinta 87,” ceritanya.
Kongsi Siso, perjalanan menjadi penyanyi bermula selepas dia dan dua anggota kumpulan Kopratasa, Mohd. Yusof Ahmad dan Sani Sudin dilamarkan Datuk M. Nasir untuk merakamkan album.
“Ketika itu, Kopratasa belum ditubuhkan. Pelawaan pertama dan kedua M. Nasir untuk merakamkan album kami tolak kerana waktu itu kami tidak yakin sama ada lagu puisi boleh dijual atau tidak. Namun pada kali ketiga, M. Nasir berjaya meyakinkan kami.
“Kami harus berterima kasih kepada komposer Allahyarham Ruslan Mamat yang ketika itu membantu mencari peruntukan untuk menghasilkan album sulung kami.
“Dan kami selamanya berterima kasih kepada komposer dan pemuzik Datuk Freddie Fernandez yang membenarkan kami merakamkan lagu di studio miliknya. Ramai yang tak tahu kebaikan Freddie kepada Kopratasa yang tidak berkira, dan membenarkan kami menjelaskan bayaran sewa studio selepas album kami terjual,” jelasnya.

PENGALAMAN EMPAT DEKAD
Pelbagai pengalaman dikumpul sepanjang hampir empat dekad penubuhan Kopratasa. Menurut Siso, antara pengalaman paling manis yang diabadikan adalah sewaktu kumpulan itu diangkat juara bagi kategori persembahan terbaik sayembara puisi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
“Ketika itu kami bawakan lagu puisi bertajuk Meditasi ciptaan ikon sastera tanah air, Abdul Aziz H.M dan Nizam Alamanda.
“Kopratasa, sepanjang empat dekad, tidak pernah dicalonkan atau menang anugerah. Jadi kemenangan itu amat manis dan bermakna buat kami.
“Banyak juga pengalaman pahit yang boleh saya ceritakan. Antaranya kami pernah tidak dibayar satu sen pun untuk membuat dua persembahan serentak. Dan pernah juga kami korbankan hasil jualan kaset dan cd semata-mata untuk membeli tiket keretapi untuk pulang ke Kuala Lumpur. Itulah asam garam dunia seni yang membuatkan Kopratasa kekal bertahan sehingga hari ini.
“Walaupun tiada anugerah yang kami menangi, kami tidak pernah kecewa dengan bidang ini kerana penganugerahan bukanlah perkara yang kami kejarkan. Cukuplah pendengar hargai lagu-lagu kami,” jelasnya.










