Menu istimewa dalam suasana klasik di Warong Ketok Ketampi

Menu istimewa dalam suasana klasik di Warong Ketok Ketampi

Muhamad Akram Merican Ahmad Merican dan isteri, Efikariansa Majid menunjukkan sebahagian daripada menu yang menjadi pilihan pengunjung di Warong Ketok Ketampi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WARONG Ketok Ketampi. Nama yang agak unik bagi sebuah restoran suasana klasik yang terletak di tengah-tengah pusat bandar George Town yang sedang pesat membangun di Pulau Pinang.

Lokasinya agak tersorok, namun, bagi yang pernah berkunjung ke sini, suasananya agak mendamaikan dengan persekitaran ala retro dan klasik. Di bahagian luar kedai, deretan kereta Volkswagen lama dan beberapa buah motosikal Vespa era 70-an dan 80-an dibiarkan ‘tersadai’ untuk membangkitkan suasana itu sekali gus menggamit orang ramai untuk ke situ.

Menjengah ke dalam restoran pula umpama memasuki sebuah kedai kopi lama dengan susunan kerusi dan meja kayu serta pelbagai hiasan dan aksesori klasik termasuk kalendar, kaset dan sebagainya.

Warong ketok ketampi
Lokasi: 15, Halaman Ariffin, George Town, Pulau Pinang
Waktu operasi: Setiap hari kecuali ahad
Buka 12 tengah hari hingga 12 tengah malam
Rehat petang
5 petang
Makanan popular: Nasi goreng ayam merican, nasi goreng
Daging merican, nasi goreng ketok ketampi.
Set kari ikan dan bawal goreng dan lain-lain

Menurut pemiliknya, Muhamad Akram Merican Ahmad Merican, 34, Ketok Ketampi bukan sahaja menawarkan suasana klasik untuk pengunjungnya, namun, menu yang disediakan di situ juga agak istimewa.

Katanya, antara menu yang sering menjadi pilihan pengunjung ketika ini termasuk Nasi Goreng Ayam dan Daging Merican, mi sanggul, Mi Hokkien serta Nasi Goreng Lamb Chop.

Jelas beliau, turut mendapat permintaan yang tinggi adalah menu makanan tengah hari seperti Nasi Goreng Ketok Ketampi, set kari ikan dan bawal goreng, ayam penyet serta juadah istimewa iaitu Coto Makassar.

“Warong Ketok Ketampi ini baru sahaja dibuka iaitu sejak Februari lalu, namun, sambutan yang diterima ketika ini agak memberangsangkan.

“Pengunjung bukan sahaja datang ke sini untuk makan, mereka juga datang untuk melihat serta berkongsi minat yang sama seperti saya iaitu mengumpul barang lama dan klasik,” katanya yang mengusahakan restoran tersebut bersama isterinya, Efikariansa Majid, 29.

Muhamad Akram Merican berkata, harga yang ditawarkan untuk setiap menu juga agak berpatutan jika dilihat pada kuantiti dan kualiti makanan tersebut.

Sebagai contoh katanya, pelbagai aneka nasi goreng yang dijual boleh didapati pada harga serendah RM10.90 sepinggan manakala mi dan set juadah tengah hari pula masing-masing bermula pada harga RM6.90 dan RM14.90.

“Kami juga ada menjual beberapa menu makanan ringan seperti roti kapal kuah kari, popia ketam cheese’, pencuci mulut seperti sugee dan bubur kacang serta pelbagai jenis minuman.

“Hampir semua menu ini diadun dengan resipi istimewa kami,” katanya yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik itu lagi.

Tambah Muhamad Akram Merican, selain menambah baik menu sedia ada, beliau juga merancang memperkenalkan beberapa menu hidangan western buat pelanggannya selepas ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×