Cerita tentang perjuangan tiga srikandi - Utusan Malaysia

Cerita tentang perjuangan tiga srikandi

(DARI KIRI) Dr. Kathryn Anne Rivai, Prof. Joy Jacqueline, dan Datuk Faridah Merican. - Fariz Rusadio
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memiliki karisma dalam bidang tersendiri, sentuhan lembut tiga wanita ini mampu mengubah dunia dan persepsi masyarakat dalam pelbagai isu masyarakat dan negara.

Perjuangan dalam dunia seni, pendidikan dan alam sekitar memberi makna kemerdekaan dan semangat cintakan tanah air kepada Prof. Joy Jacqueline, Dr. Kathryn Anne Rivai dan Datuk Faridah Merican.

Penerima Merdeka Award Trust 2024 ini membuktikan sumbangan cemerlang dan pengorbanan tidak berbelah-bahagi demi tanah air tercinta.

The Merdeka Award Trust 2024, anjuran PETRONAS and Shell adalah anugerah yang diperkenalkan sejak 27 Ogos 2007.

Ia bertujuan mengiktiraf dan memberi ganjaran kepada individu dan organisasi bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan negara tetapi sebagai inspirasi kehebatan rakyat Malaysia.

Antara kategorinya Pendidikan dan Komuniti, Alam Sekitar, Kesihatan, Sains dan Teknologi, Pencapaian Skolastik Cemerlang, Sumbangan Cemerlang kepada Rakyat Malaysia dan Anugerah Harapan Merdeka.

Penerima anugerah seni, Datuk Faridah berkata, anugerah itu adalah pengiktirafan terbesar pernah diterima beliau sebagai insan pengiat teater tanah air sejak lebih 30 tahun.

“Kami sentiasa percaya bahawa kami menggalas tanggungjawab besar dalam bidang seni. Kami melatih anak-anak dari usia tiga tahun hinggalah pelajar berusia 70 tahun dan ke atas dalam teater.

“Ia bukanlah tugas yang mudah tetapi adalah sesuatu yang Joe (suami), saya dan  orang-orang yang terbabit dalam dunia seni, percaya sepenuhnya dalam tugas yang digalas ini,” katanya.

Ujarnya, menerusi seni teater, pelajar dididik mengenai makna menjadi seorang yang berbudaya, mempercayai seni dan jujur.

Budaya dimaksudkan, adalah budaya yang dimiliki masyarakat tempatan, merangkumi sikap kemanusiaan dan murah hati.

Datuk Faridah bangunkan KLPAC
Faridah berkata, beliau masih ingat kenangan manis ketika membina Little Theatre miliknya di Plaza Putra terletak di bawah Dataran Merdeka, di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

“Joe dan saya memang ingin memiliki ruang teater kami sendiri. Sebelum ini, kami terpaksa menyewa atau menggunakan ruang milik kerajaan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan sebagainya namun itu tidak menjadi.

“Anda tidak boleh mencipta sebuah industri dengan cara itu. Jadi, itulah masa yang paling bermakna dalam hidup kami kerana kami mengambil risiko dengan membina teater kami sendiri,” katanya.

USAHA FARIDAH MERICAN membina teater tidak akan berhenti sehingga beliau melihat teater wujud di setiap sudut jalan di Malaysia.

Namun selepas lapan tahun dibina, teaternya itu ditenggelami banjir. Bagaimanapun di sebalik kesedihan itu, ada hikmahnya kerana selepas itu, beliau dan suami berjaya membina KLPAC.

Kata Faridah, usahanya membina teater tidak akan berhenti sehingga beliau melihat teater wujud di setiap sudut jalan di Malaysia.

“Saya masih berharap seni persembahan wujud meluas di seluruh negara. Pada masa ini, ia hanya terdapat di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, sedikit di Melaka dan di Johor. Ia belum ada merata di seluruh tempat.

“Teater ini perlu ada di setiap sudut, di mana sahaja anda menoleh, anda boleh melihat sesuatu yang berkaitan dengan seni persembahan. Dahulu teater tradisional berkembang menerusi Mak Yong, Bangsawan dan Boria,” katanya.

Semasa kecil, beliau terkenang keseronokan menonton Wayang Cina dan Bangsawan di Pulau Pinang di teater yang ada pada waktu itu.

Namun ketika itu beliau hanya melihat dari sebalik pagar teater saja.

Dr. Joy melawan bencana alam
Penerima Anugerah Alam Sekitar, Prof. Dr. Joy Jacqueline Pereira gembira apabila hasil kerjanya dihargai.

Usahanya merapatkan jurang polisi sains berkaitan perubahan iklim dan membina ketahanan bencana untuk kemampanan pembangunan amat penting dalam memastikan kelestarian alam sekitar.

Projek paling membanggakan disertainya, adalah membina platform pelbagai bencana alam diketuai Prof. Lord Julian Hunt of Trinity College, Cambridge. Ia membabitkan saintis, pengamal dan pembuat dasar dari Malaysia dan United Kingdom.

Platform itu dilancarkan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur pada tahun 2021 dan kini digunakan  oleh DBKL, Datuk Seri Mahadi Che Ngah dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMasia).

JOY Jacqueline Pereira bergambar bersama ahli keluarganya.

“Saya meraih pengalaman menarik sepanjang tempoh itu. Ia memberi kredibiliti untuk menyertai Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) dan menyumbang kepada beberapa laporan IPCC sejak 2014.

“Sokongan daripada Pusat Pembangunan Penyelidikan Antarabangsa Kanada (IDRC) dan Persatuan Geologi Malaysia serta MetMsia, saya mengetuai projek membangunkan Platform MyBahaya iaitu platform berasaskan web sumber terbuka untuk komuniti bersiap sedia menghadapi bencana alam,” katanya.

Beliau turut berhasrat berkongsi penemuannya itu bagi membuat perubahan positif dalam melindungi komuniti dan membina daya tahan mereka.

Keluarga penguat semangat
Dr. Joy berkata, masanya banyak digunakan dalam penyelidikan, menyediakan maklumat berasaskan bukti untuk pembuat dasar di negara ini.

“Saya lakukan demi kebaikan masyarakat dan alam sekitar. Saya sangat berterima kasih kepada keluarga saya, khususnya kepada suami dan ibu bapa saya yang membantu membesarkan anak perempuan saya serta dua adik perempuan saya.

“Sokongan berterusan, kesabaran dan pemahaman mereka membolehkan saya menguruskan kerjaya dan kehidupan peribadi,” katanya yang minat membaca dan menonton kisah benar.

Kini beliau sedang bekerjasama rapat dengan (MetMsia) dan rakan kongsi lain untuk meningkatkan Platform Pelbagai Bahaya Kuala Lumpur ke bandar utama lain di Malaysia dan rantau ini.

Beliau turut menerbitkan dalam jurnal peringkat teratas mengenai kaedah digunakan dan menjalankan pengesahan lanjut sistem ramalan dengan rakan kongsinya.

Kata-kata Winston Churchill ‘Kejayaan bukanlah muktamad, kegagalan tidak membawa maut, ia adalah keberanian’ memberikan inspirasi kepada dirinya.

“Bagi saya bila kita menghadapi halangan, jadilah praktikal dan rasional, bukan sentimental atau emosi,” katanya.

Dr. Kathryn Anne Rivai bina sekolah
Jiwa pendidiknya yang tertanam sejak 50 tahun lalu, sentiasa memanggil untuk mendidik setiap kanak-kanak terutama mereka yang terpinggir kerana tidak memiliki dokumen diri.

Naluri itu mendorong Dr. Kathryn Anne Rivai membina sekolah dikenali sebagai Etania untuk kanak-kanak di Sabah yang tidak mempunyai dokumen dan status kewarganegaraan.

“Saya dan rakan membina tiga sekolah swasta dan sejak itu, saya menubuhkan 15 pusat pembelajaran untuk kanak-kanak terpinggir. Ini adalah kenangan manis bagi saya apabila menyediakan semua pengetahuan yang diperlukan dan kini mereka berjaya menjadi warga yang berbakat.

“Terdapat beribu-ribu kanak-kanak tanpa akses kepada pendidikan di Sabah dan Etania iaitu sekolah kami bertekad untuk menyediakan akses kepada program pembelajaran yang bermanfaat dan relevan untuk mereka,” katanya.

Beliau yang menerima anugerah bagi kategori pendidikan berkata, semua kanak-kanak berhak mendapat pendidikan dan ini adalah ikrarnya untuk membantu seramai yang termampu.

Kathryn berkata pelajarnya datang dari pelbagai latarbelakang yang sukar dan berdepan cabaran untuk mencapai kejayaan.

Namun semua itulah yang memberi beliau semangat dalam kehidupan, ketahanan berdepan cabaran dan menikmati hidup sepenuhnya.

“Saya sangat berbesar hati melihat sekolah yang bermula kurang daripada 20 pelajar, kini berkembang sehingga 200 pelajar dalam setahun. Antara kenangan paling manis, adalah menghabiskan masa beberapa hari di pusat pembelajaran di Sabah untuk kanak-kanak terpinggir berkenaan.

“Aktiviti pembelajaran di sana diisi dengan keseronokan, kreativiti dan pengetahuan. Ia adalah masa-masa yang saya nikmati sehingga hari ini. Banyak cabaran yang kami lalui tetapi saya dapati isu paling sukar adalah apabila sesetengah orang memandang hina mereka.

“Kami sedar, pelajar kami dikenali sebagai tidak wujud di Sabah kerana tidak ramai orang mahu tahu mengenai mereka  apatah lagi menjaga kebajikan mereka. Justeru masyarakat perlu diberikan kesedaran mengenai isu kemanusiaan, makna kesaksamaan dan persamaan,” katanya.

Semua orang sumber inspirasi
Bagi Kathyrn, setiap hari beliau bertemu idolanya kerana semua orang memberikan inspirasi kepadanya.

Malah beliau mengakui banyak belajar daripada apa yang dilihat.

“Rakan sekerja dalam badan bukan kerajaan (NGO), teman, pelajar dan keluarga mereka adalah idola saya. Cara mereka berdepan cabaran memberi inspirasi kepada saya untuk melakukan lebih baik dan banyak lagi.

“Keluarga saya sendiri juga adalah inspirasi saya seperti ibu bapa, cucu dan adik beradik turut memberi sokongan penuh dan semangat dalam kehidupan saya,” katanya.

Tambah beliau, kebanyakan masa, beliau gemar berfikir dan membuat persediaan untuk sekolahnya. Selain itu, beliau juga gemar berkebun di masa lapang, membaca dan menggembara di seluruh dunia untuk bertemu keluarga.

BAGI Kathryn Anne Rivai setiap kanak-kanak perlu dikasihi, dilindungi dan dijaga oleh keluarga dan masyarakat.

“Masa lapang, saya gemar berjumpa dan bercakap dengan sesiapa saja yang menunjukkan minat dalam pendidikan terutama mereka yang menyediakan pendidikan untuk golongan terpinggir.

“Bagi saya, setiap kanak-kanak perlu dikasihi, dilindungi dan dijaga oleh keluarga dan masyarakat.

“Mereka perlu diberi peluang untuk meneroka dunia dan mencari kerjaya, akses kepada pendidikan, penjagaan kesihatan dan makanan berkhasiat,” katanya.

Katanya pada masa ini, beliau menubuhkan sekolah atau pusat kemahiran hidup baharu.

Etania bukan saja melatih guru tetapi guru dari pusat pembelajaran di seluruh Sabah.

Ia ditubuhkan sejak 2015 dan sejak itu beratus guru hadir.

Projek melatih guru itu dijangka berterusan sehingga diperlukan, bagi memastikan semua guru dilengkapi kemahiran mendidik kanak-kanak terpinggir di negeri di Bawah Bayu itu.

“Golongan muda perlu diberi peluang mencapai impian mereka dan yakin mereka boleh mencapainya jika diberi peluang.

“Bagi mencapai kejayaan dalam apa saja yang dilakukan, kita perlu sentiasa merendah diri. Minda juga perlu terbuka dalam menerima pandangan dan rebutlah semua peluang yang ada,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×