Sedania catat jumlah pendapatan RM78.3 juta - Utusan Malaysia

Sedania catat jumlah pendapatan RM78.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sedania Innovator Berhad (Sedania) mencatat jumlah pendapatan RM78.3 juta untuk penyata kewangan 18 bulan 2024 yang belum diaudit bagi tahun kewangan semasa, peningkatan ketara daripada RM38.35 juta yang direkodkan dalam tempoh 12 bulan 2024 yang telah diaudit bagi tahun kewangan 2022.

Prestasi kumpulan pada 2024 ini menunjukkan pertumbuhan yang dipergiat dalam tempoh transformasi, disokong oleh pendapatan yang stabil dan berdaya tahan berpunca dari model perniagaan terkini berasaskan pengguna yang pelbagai.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Halim Ali berkata, kumpulan mencatat kerugian sebelum cukai sebanyak RM0.57 juta bagi tahun kewangan 2024 bersandarkan penyusutan nilai sekali bagi segmen Tenaga Lestari, sekali gus menunjukkan langkah jelas dalam proses transformasi ini.

“Perkembangan Sedania bagi tahun kewangan ini menunjukkan titik permulaan yang penting dalam perjalanan transformasi kami.

“Prestasi suku semasa kami mencerminkan keputusan strategik yang diambil untuk mengkalibrasi semula segmen Tenaga Lestari kami. Langkah ini penting untuk memastikan asas yang kukuh bagi pertumbuhan jangka panjang kami.

“Kemajuan perniagaan yang dicapai setakat ini dalam segmen FMCG Lestari dan Teknologi Pengguna Lestari sudah menunjukkan bahawa kami sedang menuju ke arah model perniagaan yang lestari,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas tentang operasi kumpulan yang kukuh, Pengarah Urusan Sedania, Datuk Azrin Mohd. Noor berkata, dalam pelaksanaan transformasi syarikat telah menunjukkan prestasi pendapatan yang positif dengan trajektori yang meningkat.

“Ini membuktikan ketahanan model perniagaan berorientasikan pengguna kami.

“Dengan peralihan kepada sektor konsumer, kedayasaingan perniagaan teras kami bukan sahaja dapat mengukuhkan keupayaan kami untuk menghadapi sebarang cabaran tetapi juga menetapkan asas yang kukuh untuk pertumbuhan yang mampan untuk masa yang akan datang.

“Melihat ke hadapan, strategi kami untuk menumpukan usaha kami dalam segmen FMCG Lestari dan segmen Teknologi Pengguna Lestari dijangka akan meningkatkan pertumbuhan pendapatan kami,” katanya.

Dalam pada itu, beliau teruja dengan prospek pertumbuhan baharu yang digerakkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ng Hock Guan dan disokong oleh pasukan pengurusan kumpulan manakala Ahli Lembaga Pengarah baharu Sedania, Tun Md. Raus Sharif juga menyumbang pandangan dan perspektif yang bernas dan strategik kepada Lembaga Pengarah.

“Dengan pelancaran produk baharu dan penyusunan semula model kos, segmen FMCG Lestari kami yang didorong oleh jenama Offspring dan Tanamera, bersama perniagaan Pengilangan Jenama Asal (OBM) Halal kami, FA Herbs Sdn.Bhd., kami terus meningkatkan margin dan kecekapan operasi kami.

“Objektif strategik Sedania untuk tahun kewangan akan datang 2025 adalah untuk mengembang dan memupuk pertumbuhan dinamik semua segmen perniagaan kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×