GAZA: Tentera Israel dan kumpulan pejuang Hamas bersetuju untuk menghentikan pertempuran selama tiga hari di zon tertentu di Gaza.
Ini untuk membolehkan pusingan pertama vaksinasi polio diberikan kepada 640,000 kanak-kanak di wilayah tersebut.
Pegawai kanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk wilayah Palestin, Rik Peeperkorn berkata, kempen vaksinasi dijadualkan pada Ahad, dengan tiada perang buat sementara waktu bermula antara pukul 6 pagi hingga 3 petang.
Beliau berkata, kempen ini akan dimulakan di Gaza Tengah selama tiga hari berturut-turut, sebelum bergerak ke selatan dan seterusnya ke bahagian utara.
“Pusingan kedua vaksinasi diperlukan empat minggu selepas suntikan pertama,” katanya.
Pengarah Kecemasan WHO, Mike Ryan berkata, kebiasaannya kempen vaksinasi memerlukan satu atau dua hari tambahan untuk memastikan capaian menyeluruh ke seluruh wilayah.
“Sekurang-kurangnya 90 peratus liputan diperlukan semasa setiap pusingan kempen untuk menghentikan wabak dan mencegah penyebaran polio,” katanya kepada Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi kemanusiaan di Gaza, semalam.
Hamas menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan organisasi antarabangsa bagi melindungi lebih 650,000 kanak-kanak di Gaza.
23 Ogos lalu, WHO mengesahkan seorang kanak-kanak 10 bulan lumpuh akibat virus polio jenis 2, kes pertama seumpamanya di Gaza dalam tempoh 25 tahun. – REUTERS










