BELLINZONA, Switzerland: Dua individu yang disabit bersalah menggelapkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memperoleh wang hampir AS$842 juta (RM3.6 bilion) daripada penyelewengan AS$1.8 bilion dana kekayaan negara ini.
Menurut pendakwaan dalam kes tersebut, kedua-dua tertuduh, iaitu Patrick Mahony dan Tarek Obaid masing-masing memperoleh sekurang-kurangnya AS$805 juta (RM3.48 bilion) dan AS$37 juta (RM160 juta) dalam skandal penyelewengan berkenaan.
Berdasarkan kertas pendakwaan, kedua-dua eksekutif itu dituduh menipu dana kekayaan sebanyak AS$1.8 bilion atau RM7.8 bilion dengan tujuan memperkayakan diri mereka.
Mereka dituduh mencipta tanggapan palsu bahawa kerajaan Arab Saudi menyokong syarikat mereka dalam usaha meyakinkan lembaga pengarah 1MDB untuk menubuhkan usaha sama dengan syarikat mereka pada 2009.
Akibatnya, Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland kelmarin mensabitkan bersalah dua lelaki itu kerana menyeleweng AS$1.8 bilion daripada 1MDB.
Obaid yang merupakan Ketua Eksekutif PetroSaudi dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun manakala Mahony, seorang pengarah di syarikat penerokaan dan pengeluaran minyak Arab Saudi itu dikenakan hukuman penjara enam tahun, lapor media antarabangsa.
Mahkamah dalam penghakiman memberitahu, dua tertuduh telah memperdaya ahli lembaga pengarah 1MDB untuk mempercayai bahawa Petrosaudi mempunyai kaitan dengan Arab Saudi dan syarikat itu akan menyumbang aset minyak yang besar kepada usaha sama berkenaan.
“Kenyataan ini adalah palsu dan tertuduh mengetahui perkara ini dengan baik,” kata mahkamah berkenaan.
Keputusan itu adalah episod terbaharu dalam skandal 1MDB, kisah kompleks rasuah antarabangsa yang melanda banyak institusi kewangan dan individu di seluruh dunia sejak dakwaan salah laku pertama kali muncul pada 2015.
Pendakwa raya berkata, dua lelaki terbabit merancang penipuan itu bersama ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, penasihat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Dua lelaki itu pada mulanya mengekstrak $AS1 bilion daripada 1MDB supaya ia boleh membeli kepentingan dalam usaha mereka dan menyusuli usaha sama itu tertuduh mengambil lagi $AS830 juta daripada syarikat itu antara 2010 dan 2011 sebagai sebahagian daripada pinjaman Islamik. – AGENSI











