SINGAPURA: Taufan Gaemi yang mengakibatkan lebih 100 kematian selepas melanda Filipina, Taiwan dan China bulan lalu, diburukkan lagi oleh perubahan iklim didorong oleh perbuatan manusia.
Satu laporan oleh persatuan penyelidik, Kumpulan Iklim Sedunia hari ini melaporkan, suhu lautan yang semakin meningkat mengakibatkan taufan-taufan yang melanda Asia lebih berbahaya.
Wakil penyelidik dari Institut Meteorologi Diraja Belanda, Nadia Bloemendaal berkata, kelajuan angin dibawa Taufan Gaemi meningkat kira-kira 14 kilometer sejam, sementara hujan dibawanya bertambah sebanyak 14 peratus ekoran pertambahan suhu air laut.
“Pertambahan suhu global menyebabkan suhu air laut turut naik. Keadaan itu memberi lebih tenaga kepada taufan,” jelas beliau pada satu taklimat sebelum membentangkan laporan berkenaan semalam.
Sementara itu, seorang penyelidik di Institut Grantham London, Clair Barnes pada acara sama memberitahu, taufan kini 30 peratus lebih banyak berlaku berbanding zaman pra-industri dan ianya boleh berlaku lebih kerap jika suhu global meningkat 2 darjah Celcius.
Taufan Gaemi membadai rantau Asia Timur pada 22 Julai lalu, mencatat taburan hujan lebih 300 millimeter di Manila hanya dalam tempoh sehari.
Ribut tropika yang membawa angin sekuat 232 kilometer sejam itu mengakibatkan ombak besar sehingga menenggelamkan sebuah kapal tangka di perairan Filipina dan sebuah kapal kargo di Taiwan.
Hujan lebat akibat Gaemi turut menyebabkan kejadian tanah runtuh di wilayah Hunan China yang mengorbankan lebih 20 nyawa. – AGENSI











