JOHOR BAHRU; Pasangan kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas dua pertuduhan mengedar dadah lebih tiga kilogram (kg) di Taman Ekoflora, dua minggu lalu.
Tertuduh, Brayden Ong, 31, warga Singapura dan teman wanitanya, Wang Wee Ching, 38, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, A. Shaarmini, namun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Berdasarkan kertas pertuduhan, pasangan kekasih itu didapati mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 2.66 kg serta dadah serbuk jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 457.1 gram (g) di sebuah rumah di Jalan Ekoflora 3/18, Taman Ekoflora, di sini kira-kira pukul 3.30 petang,17 Ogos lalu.
Pasangan itu didakwa di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2)(a) akta sama dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 kali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Wee Ching didakwa bagi dua lagi pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis MDMA yang dianggarkan berat lebih 1.5 kg.
Tiada pengakuan direkodkan selepas dua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret R. Salini.
Dia didakwa mengedar dadah berbahaya jenis MDMA dengan anggaran berat kasar 1.19kg pada pukul 10.55 malam di sebuah rumah di Jalan Indah 29/10 Taman Bukit Indah pada hari yang sama.
Wanita itu turut didakwa mengedar dadah jenis MDMA dengan berat kasar 375 g pada 11.20 malam di apartmen KSL Residences 2 @ Kangkar Tebrau, Taman Istimewa, di sini pada tarikh yang sama.
Dia didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(2) ADB 1952 dan Seksyen 39b (1) (A) akta yang sama.
Dalam pada itu, di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin pula, kedua-dua tertuduh turut menghadapi dua pertuduhan memiliki 1.85 gram dadah jenis nimetazepam dan 2,240 mililiter (ml) cecair MDMA di rumah sama dekat Taman Ekoflora di sini, pukul 3.30 petang, 17 Ogos lalu.
Mereka mengaku bersalah bagi kedua-dua pertuduhan yang di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 itu yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda RM100,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurain Syafiqeen Mohd. Rozi, Siti Fatimah Mamu dan Adriana Azrin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Mahkamah menetapkan 29 Oktober dan 27 November depan bagi sebutan semula kes dan tiada jaminan bagi kedua-dua tertuduh. – UTUSAN










