KUALA KRAI: Penyebaran ajaran sesat Millah Abraham dipercayai meningkat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 di seluruh negara beberapa tahun lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, ini kerana, kumpulan tersebut menggunakan media sosial untuk mengembangkan ideologi ajaran sesat yang dibawa oleh pengikut mereka.
Bagaimanapun, menurut beliau, penyebaran ajaran itu masih terkawal dengan beberapa tangkapan dilakukan membabitkan pengikut ajaran berkenaan.
“Kita dapati penyebaran ajaran agama sesat Millah Abraham ini meningkat ketika PKP sebelum ini.
“Sehubungan itu, kita terus bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam di setiap negeri bagi memantau penyebaran ajaran tersebut,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Peluncuran Kampung Angkat Madani Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kampung Jenal, Dabong di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, pelakon, Pablo Amirul mengakui pernah terjebak dua tahun dengan ajaran sesat Millah Abraham kerana mengikut kekasih sebelum kini memilih untuk kembali ke ajaran Islam yang betul.
Ajaran Millah Abraham atau Millah Ibrahim itu difatwakan menyeleweng dan bertentangan dengan ajaran Islam berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.
Menurut ajaran sesat tersebut, Agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad telah berakhir sejak kejatuhan kerajaan Islam dan diganti dengan agama baharu iaitu Millah Ibraham.
Selain itu, mereka turut menggelarkan sesiapa yang tidak mengikuti ajaran Millah Abraham sebagai sesat, kafir, syirik dan wajib bertaubat dengan ajaran berkenaan.- UTUSAN










