NEW YORK: Penyanyi terkenal, Mariah Carey mengumumkan kehilangan ibu dan kakak serentak selepas kedua-duanya meninggal dunia pada hujung minggu lalu.
Berita itu didedahkan beliau dalam satu wawancara eksklusif bersama majalah People, semalam.
“Hati saya hancur kerana kehilangan ibu saya pada hujung minggu lalu. Malangnya, kakak saya juga kehilangan nyawanya pada hari yang sama.
“Saya bersyukur kerana dapat menghabiskan minggu terakhir bersama ibu saya sebelum beliau meninggal dunia,” katanya dalam temu bual berkenaan.
Carey berkata, beliau menghargai kasih sayang dan sokongan yang diterima, namun meminta semua pihak menghormati privasinya buat masa ini.
Tarikh sebenar dan punca kematian kedua-dua mereka tidak dinyatakan.
Ibu Carey, Patricia, 87, merupakan penyanyi opera dan guru vocal berketurunan Ireland-Amerika, sementara kakaknya, Alison, 63, dilapor meninggal dunia di Greene County, Coxsackie.
Hubungan Carey dengan kedua-duanya tidak begitu baik namun penyanyi tersebut sering menyatakan ibunya adalah orang yang mendedahkannya kepada muzik.- AGENSI










