KAHERAH: Kumpulan pejuang Hamas menolak syarat baharu Israel dalam rundingan gencatan senjata Gaza, yang berlangsung di Kaherah, Mesir minggu lalu.
Perkembangan itu menimbulkan keraguan sama ada peluang untuk menamatkan perang 10 bulan antara Israel dan kumpulan pejuang, boleh direalisasikan.
Rundingan yang berlaku selama berbulan-bulan masih gagal menghasilkan perjanjian yang mampu mengakhiri kempen ketenteraan Israel atau membebaskan baki tebusan di Gaza.
Antara punca menyebabkan rundingan itu terkandas melibatkan kehadiran Israel di Koridor Philadelphi, yang dipanggil kawasan sempit sepanjang 14.5 kilometer di sepanjang sempadan selatan Gaza dengan Mesir.
Hamas berkata, Israel membatalkan komitmen untuk menarik balik tentera dari Koridor dan mengemukakan syarat baharu, termasuk mengenakan pemeriksaan terhadap penduduk Palestin ketika kembali ke utara, apabila gencatan senjata bermula.
Pegawai Hamas, Osama Hamdan menegaskan, kumpulannya tidak akan menerima syarat baharu atau sebarang perubahan yang sudah dipersetujui pada 2 Julai lepas.
Delegasi Hamas meninggalkan Kaherah kelmarin selepas bertemu pengantara dan menerima maklumat terkini mengenai pusingan terbaharu rundingan.
Dua keselamatan Mesir memberitahu Reuters, rundingan itu berakhir tanpa persetujuan Hamas, sementara Israel juga menolak untuk berkompromi dengan cadangan pengantara.
Walaupun Hamas mengesahkan kesediaannya untuk melaksanakan perjanjian demi kepentingan rakyat Gaza, ia tetap menegaskan keperluan perjanjian meliputi gencatan senjata kekal dan pengunduran sepenuhnya Israel dari wilayah itu.
Hamas juga menegaskan, perjanjian itu harus merangkumi kebebasan penduduk Gaza untuk kembali ke rumah mereka, bantuan kemanusiaan, pembinaan semula wilayah serta pembebasan tahanan di penjara Israel.










