PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang membuat audit khas terhadap insiden demi insiden membabitkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, laporan audit khas itu akan dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini.
Beliau berkata, pihaknya telah menghubungi MAS malah siasatan telah dijalankan terhadap siri insiden membabitkan pesawat milik Malaysia Aviation Group (MAG) itu.
“Kita sudah hubungi pihak MAS, malah sebelum ini pun kita sudah lancarkan siasatan sebab ada insiden sebelum ini (seperti berpatah balik dan gelora udara).
“Saya akan melaporkan (penemuan dalam audit) kepada Kabinet Rabu ini dan sudah pasti tindakan susulan akan diambil oleh CAAM,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut beliau, pihaknya juga sudah meminta MAG mengambil tindakan sewajarnya supaya operasi syarikat penerbangan itu lebih lancar tetapi tidak berkompromi isu keselamatan.
Bagaimanapun, kata beliau, antara cabaran utama mengendalikan isu teknikal MAS ialah gangguan terhadap kelengkapan alat ganti pesawat dan kekurangan tenaga kerja yang menganggu kerja-kerja penyelenggaraan.
Minggu lalu, bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menyenaraikan beberapa insiden membabitkan pesawat MAS sepanjang tahun ini.
Antaranya, penerbangan ke Kuala Lumpur melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Hyderabad di India kerana masalah enjin pada 20 Jun.
Pada 24 Jun penerbangan MH780 dari Kuala Lumpur ke Bangkok terpaksa berpatah balik ke KLIA kerana isu tekanan diikuti pada 16 Ogos penerbangan dari Melbourne ke Kuala Lumpur terpaksa melakukan pendaratan cemas di Alice Springs kerana berdepan masalah enjin.
Ka Siong kemudian memaklumkan pada 21 Ogos MH386 dari Kuala Lumpur dalam perjalanan ke Shanghai terpaksa berpatah balik ke KLIA selepas mengalami masalah tekanan kabin.
Bagaimanapun, Anthony berkata, kenyataan Ka Siong itu ibarat mempersoalkan tahap profesionalisme MAG dan MAS.
“Saya tidak ada kesangsian ke atas tahap profesionalisme mereka (MAG dan MAS) malah, saya sentiasa meletakkan kepercayaan dan keyakinan kepada mereka.
“Saya pasti aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan sebab itu CAAM melaksanaan siasatan segera, bukan sebab bekas menteri bersuara baru kita buat siasatan.
“Sebarang insiden berlaku, syarikat penerbangan atau mana-mana syarikat, mesti laporkan kepada CAAM. Apa sahaja insiden termasuk dilanggar burung, patah balik atau gelora udara mesti laporkan kepada CAAM,” katanya.
Oleh itu, kata beliau, adalah tidak patut untuk mana-mana pihak menimbulkan krisis keyakinan terhadap MAG mahupun MAS kerana mereka telah lakukan yang terbaik untuk meyakinkan penumpang.
Beliau berkata, masalah teknikal bukan hanya dilalui MAG sahaja sebaliknya ada banyak syarikat penerbangan lain berdepan masalah sama. – UTUSAN











