PETALING JAYA: Pihak Pengurusan Selangor FC masih menaruh kepercayaan kepada Nidzam Jamil untuk membimbing skuad Gergasi Merah biarpun tumpas 1-6 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam final Piala FA 2024 pada Sabtu lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon berkata, prestasi jurulatih berusia 44 tahun itu tidak boleh diukur dalam perlawanan akhir berkenaan selain bekas pemain Selangor itu juga memiliki rekod yang baik.
Menurut Johan, pihaknya akan duduk bersama Nidzam untuk melakukan bedah siasat tentang kekalahan berkenaan untuk mengenal pasti kelemahan itu sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) II pada September depan.
“Bila kita bermain dengan pasukan yang ada kualiti tinggi seperti JDT, kita nampak beberapa kelemahan yang kita tak nampak bila bermain dengan pasukan lain dan benda ini kita akan beri perhatian untuk mengatasi kelemahan ini.
“Kita kena belajar sebab kebarangkalian untuk bermain dengan pasukan seperti JDT di ACL II sangat tinggi. Mungkin kita akan lawan pasukan yang kualiti dia lebih kurang macam JDT dan kalau kita tidak perbaiki, mungkin kita akan terima padah.
“Saya rasa keputusan itu susah untuk kita kawal sebab akan ada kalah, seri dan menang tapi kita tidak boleh ukur (pencapaian dan kedudukan) jurulatih Nidzam macam itu (kekalahan 1-6).
“Dia pernah ada keputusan seri sebelum ini. Mana-mana jurulatih lain pun bukan semua dapat keputusan seri dengan JDT. Jadi kita tak boleh menilai jurulatih Nidzam berdasarkan keputusan malam ini (final Piala FA Sabtu lalu).
“Kami (pihak pengurusan) dan jurulatih Nidzam sentiasa berbincang dan bukan hanya untuk malam ini tetapi setiap perlawanan ada post mortem sama ada keputusan seri, kalah atau menang. Kita ambil setiap perlawanan itu sangat penting,”katanya.
Untuk rekod, juara 33 kali Piala Malaysia itu akan bersaing di AC II dan bakal berdepan jaguh Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors serta kelab Thailand, Muangthong United dan pasukan Dynamic Herb Cebu dari Filipina.
Aksi akan bermula pada 17 September hingga 5 Disember ini secara round robin babitkan perlawanan di laman sendiri dan tempat lawan.-UTUSAN











