DHAKA: Sekurang-kurangnya 20 orang maut dan lebih 5.2 juta penduduk terjejas akibat banjir di Bangladesh, yang tercetus akibat hujan berterusan serta limpahan air sungai.
Bencana itu menyebabkan ramai penduduk terperangkap berikutan jalan raya di beberapa daerah ditenggelami air, menyukarkan usaha menyelamat dan penghantaran bantuan.
Perdana Menteri Bangladesh, Mohammad Yunus berkata, kerajaan mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan pemulihan segera kawasan banjir, dengan kerjasama agensi swasta.
Yunus, pemenang Hadiah Nobel Keamanan, kini mengetuai kerajaan sementara selepas bekas Perdana Menteri, Sheikh Hasina melarikan diri dari negara itu berikutan protes pelajar, bulan ini.
Sebahagian penduduk Bangladesh mendakwa banjir tersebut disebabkan pembukaan empangan di negara jiran, India, namun New Delhi menafikan tuduhan tersebut.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Bangladesh memberi amaran bahawa keadaan banjir mungkin berlarutan jika hujan monsun berterusan kerana paras air surut perlahan.
Lebih 400,000 orang berlindung di 3,500 pusat perlindungan di daerah yang terjejas banjir, dengan bantuan tentera dan pengawal sempadan dalam operasi menyelamat, menurut pihak berkuasa.
Institut Bank Dunia pada 2015 menganggarkan, 3.5 juta orang di Bangladesh berisiko menghadapi banjir setiap tahun, dengan saintis menyifatkan perubahan iklim sebagai faktor yang memburukkan lagi bencana itu.- AGENSI










