KOTA TINGGI: Persoalan tentang siapa calon yang akan menjadi taruhan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bulan depan bakal terjawab hari ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan UMNO Johor yang diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di kediaman rasmi Menteri Besar Johor.
Ditanya sama ada kuota calon wanita akan dikekalkan di DUN Mahkota, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi memilih untuk mengunci mulut.
“Kita ada mesyuarat hari ini (di Saujana) dengan UMNO Johor, Presiden (Ahmad Zahid) akan hadir. (Soal calon), Kena tanya Presidenlah, itu tunggu hasil mesyuarat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Tapak Projek Pemindahan Ilmu (KTP) Ternakan Kelulut Sedili anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Sedili Kecil, dekat sini hari ini yang turut dihadiri Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim.
Khamis lalu, Pergerakan Pemuda UMNO mengusulkan nama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah sebagai calon PRK DUN Mahkota yang akan diadakan pada 28 September ini.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh dalam ucapan penggulungan pada Perhimpunan Pergerakan Pemuda UMNO itu turut meminta Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan untuk membawa usul sayap itu ke Mesyuarat MKT.
Turut disebut-sebut mengisi kekosongan itu ialah Pemangku Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang, Zainani Jamaluddin, 47.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, seluruh jentera UMNO perlu bekerja keras bagi memastikan kerusi itu tidak dirampas calon parti lain.
“InsyaAllah, bila masuk bertanding, mestilah kita nak menang. Saya tak nak buat jangkaan (peluang menang), tapi kita akan kerja keras,” katanya.
Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 28 September, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal, masing-masing pada 14 dan 24 September.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 5,166 undi. – UTUSAN










