Lima pengusaha stesen minyak ditahan seludup diesel bersubsidi - Utusan Malaysia

Lima pengusaha stesen minyak ditahan seludup diesel bersubsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Lima termasuk dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas terbabit sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi.

Dua beradik terdiri seorang wanita dan lelaki masing-masing berusia 30 tahun sehingga 40 tahun turut dikesan merasuah pegawai agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Menurut sumber, suspek dua beradik ini ditahan bersama dua lagi lelaki serta seorang wanita dalam Op Liter di dijalankan Bahagian Operasi Khas dan Skuad Taktikal Khas SPRM di  sebuah depoh simpanan minyak diesel di Sungai Bidut, semalam.

Operasi berkenaan turut mendapat kerjasama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Kesemua suspek ini dipercayai terbabit dengan sindiket penjualan minyak diesel bersubsidi bagi kegunaan nelayan, namun dijual pada kadar harga lebih tinggi kepada pembeli dari luar negara,” kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap dua beradik berkenaan bersama dua lagi lelaki dan wanita dalam operasi diadakan semalam.

Bagaimanapun, dua lelaki dan seorang wanita terbabit dibebaskan dengan jaminan SPRM hari ini.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan serta Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya.

Terdahulu, sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak tahun 2012 dan mengaut keuntungan sehingga RM400 juta.

Mereka  disyaki turut membayar wang rasuah kepada beberapa penguat kuasa sebuah agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana menyimpan minyak diesel tanpa permit yang sah.

Menerusi operasi itu, SPRM telah menyita dua tongkang dan 30 tangki simpanan minyak yang dipercayai mengandungi kira-kira 1.6 juta liter minyak diesel.

Selain itu, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM3.7 juta susulan tangkapan terhadap kelima-lima suspek berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×