MELAKA: “Saya tidak pernah bermimpi untuk mendapat darjah kebesaran Melaka bergelar Datuk,” kata pelakon, Remy Ishak atau nama sebenarnya Mohamad Zalimei Ishak, 42.
Remy dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Sempena Sambutan Hari Jadi Ke-75 Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Balai Istiadat Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, semalam.
Beliau yang mula dikenali ramai menerusi filem Anak Halal pada 2007 berkata, ia merupakan anugerah terbesar diterimanya sepanjang 20 tahun karier menjadi anak seni.
“Apapun saya ucap terima kasih kepada Tun Mohd. Ali dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh atas kepercayaan untuk diberikan darjah kebesaran yang amat bermakna buat saya.
“Mencari itu tidak, tetapi syukur alhamdulillah atas pengurniaan darjah ini yang tidak pernah saya mimpikan.
“Saya bertanya atas dasar apa mungkin atas pencapaian saya sebagai anak seni
termasuk memegang watak Laksamana Hang Tuah dalam teater Hikayat Hang Tuah di Melaka,” katanya ketika ditemui.
Remy yang ditemani isterinya, Ezza atau nama sebenar Roszaliza Yusof, 42, merupakan anak jati kelahiran Masjid Tanah.
Sementara itu, pelakon yang memegang watak Sultan Melaka dalam teater Hikayat Hang Tuah, Mohd. Ashraf Muslim berkata, Bintang Khidmat Terpuji (BKT) yang diterimanya menjadi pengiktirafan kepada semua yang terlibat dalam industri seni.
“Saya rasa ini adalah satu anugerah yang amat bermakna kepada mereka yang terlibat dalam industri seni hampir 20 tahun,” katanya. – UTUSAN










