SHAH ALAM: Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (Semashur) berjaya menjuarai kejohanan Super Schools Rugby (SSR) 2024 selepas menewaskan Maktab Sultan Abu Bakar (EC) 41-31 dalam perlawanan akhir dramatik di Stadium UiTM Shah Alam, semalam.
Perlawanan yang menyaksikan aksi penuh bertenaga daripada kedua-dua pasukan itu bermula dengan serangan agresif dari EC yang mendahului dengan jaringan awal.
Namun, Semashur bangkit dengan pantas untuk merapatkan jurang dan kemudiannya menguasai perlawanan dengan permainan yang tersusun dan berdisiplin.
Ketua Jurulatih Semashur, Mohd Soleh Abd Hamid menzahirkan rasa syukur atas kemenangan tersebut dan memuji semangat juang tinggi anak-anak buahnya.
“Ini adalah hasil usaha keras pemain yang tidak kenal erti putus asa. Mereka menunjukkan bahawa mereka inginkan kemenangan dan saya amat berbangga dengan prestasi yang dipamerkan.
“Walaupun kita ketinggalan pada awalnya dengan skor yang agak jauh tetapi saya memberitahu anak buah saya untuk kekal fokus dan berikan yang terbaik,” katanya selepas perlawanan.
Sementara itu, Ketua Jurulatih EC, Abdul Hanis Mokhtar menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka dan memuji kehebatan pasukan lawan.
“Walaupun kami tidak berjaya membawa pulang trofi, saya tetap berbangga dengan usaha yang ditunjukkan oleh pemain-pemain kami.
“Ini merupakan kali pertama kami melangkah ke perlawanan akhir, dan sudah pasti kami inginkan kemenangan tetapi kami perlu akur dengan kehebatan pihak lawan,” katanya.
Perlawanan akhir tahun ini berjaya memberi peluang kepada The Zealords untuk menebus kekecewaan sebelumnya apabila kali terakhir menjuarai SSR pada 2019. – UTUSAN










