TIV tujuh bulan pertama 2024 meningkat 62 peratus

TIV tujuh bulan pertama 2024 mencecah 62 peratus

JUALAN kereta dijangka meningkat tahun ini.- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenanga Research menjangkakan jumlah volum industri (TIV) untuk tujuh bulan pertama tahun 2024 adalah sebanyak 62 peratus daripada unjuran tahunan, iaitu 740,000 unit. 

Menurut nota penyelidikannya, angka itu lebih rendah daripada unjuran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) sebanyak 765,000 unit.

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran TIV untuk tahun kewangan 2024 dibuat dengan lebih berhati-hati kerana pelaksanaan e-Invois dan rasionalisasi subsidi petrol yang dijangka berlaku pada separuh kedua tahun ini.

“Kami percaya e-Invois dan rasional subsidi yang akan dilakukan nanti bakal memberi kesan negatif terhadap jualan kenderaan.

“Walaupun segmen mampu milik akan terus beroperasi seperti biasa, rasionalisasi subsidi bahan api mungkin akan menjejaskan permintaan untuk model pertengahan pasaran, menyebabkan pasaran automotif tempatan mengalami dua kelajuan pada tahun kewangan 2024. 

“Secara amnya, keterlihatan pendapatan industri masih baik, disokong oleh tempahan tertunggak sebanyak 170,000 unit. Pilihan utama sektor kami adalah MBM Resources Bhd.  pada harga sasaran (TP) RM6.30, yang merupakan proksi yang baik untuk jenama Perodua yang mampu milik dan cekap bahan api. Ia juga menawarkan hasil dividen yang menarik sekitar tujuh peratus,” katanya.

Jualan kenderaan baharu di Malaysia, TIV meningkat sebanyak 24 peratus bulan ke bulan kepada 71,730 unit pada Julai 2024.

Ini berikutan bulan pengeluaran penuh tanpa penutupan kilang utama (kedua-dua kilang Perodua dan Proton ditutup selama seminggu pada Jun 2024) serta pelancaran baharu oleh pengeluar kereta. 

Secara keseluruhannya, segmen kenderaan penumpang meningkat bulan ke bulan dan tahun ke tahun berikutan bulan pengeluaran penuh tanpa penutupan kilang utama.

Kenanga Research berkata, pihaknya percaya bahawa akan terdapat pasaran automotif dua kelajuan di tempatan pada tahun kewangan 2024. 

“Segmen mampu milik akan terus beroperasi seperti biasa kerana pelanggan sasaran mereka iaitu kumpulan B40 akan terhindar daripada kesan rasionalisasi subsidi bahan api yang akan datang dan juga mungkin mendapat manfaat daripada pengenalan model gaji progresif. 

“Kenaikan gaji untuk kebanyakan penjawat awam (pengurusan tertinggi akan menerima kenaikan tujuh peratus, manakala mereka dalam peranan profesional dan eksekutif melihat kenaikan 15 peratus) pada Disember 2024 juga akan sebahagiannya memulihkan kuasa beli mereka yang terhakis oleh inflasi tinggi. 

“Bagaimanapun, perkara yang sama tidak boleh dikatakan untuk segmen pertengahan pasaran kerana pelanggan sasaran mereka, iaitu kumpulan M40 mungkin menangguhkan pembelian kenderaan baharu atau mereka mungkin beralih kepada kenderaan yang lebih kecil atau kenderaan elektrik (EV) untuk mengurangkan bil bahan api mereka setelah pengenalan rasionalisasi subsidi bahan api,” katanya.

Selain itu, pelaksanaan e-Invois dijangka memberi impak besar terhadap pembelian kenderaan baharu terutamanya pada segmen pertengahan, memandangkan ia akan menghentikan amalan biasa memberikan pembiayaan sewa beli 100 peratus (di bawah Akta Sewa Beli 1967, pelanggan dikehendaki membuat bayaran pendahuluan minimum sebanyak 10 peratus).

Firma berkata, secara umum, keterlihatan pendapatan industri masih baik, disokong oleh tempahan tertunggak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×