Saya ‘kayu’ - Khairul Aming tolak tawaran berlakon - Utusan Malaysia

Saya ‘kayu’ – Khairul Aming tolak tawaran berlakon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pempengaruh dan usahawan berjaya, Khairul Amin Kamarulzaman tidak menafikan selepas semakin dikenali, dirinya dihujani pelawaan untuk masuk ke dalam dunia lakonan.

Bagaimanapun, pempengaruh berusia 31 tahun itu terpaksa menolak tawaran-tawaran tersebut atas alasan tiada bakat dalam bidang berkenaan.

“Memang ada banyak tawaran yang masuk. Bukan sahaja berlakon drama, malah menjadi pengacara dan hos untuk program masakan di televisyen.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tapi semua saya tolak secara baik. Bukan apa, itu bukan bidang saya dan saya tiada kemahiran dalam bidang-bidang tersebut. Saya memang tak boleh berlakon, kayu. Kalau iklan mungkin boleh.

“Buat masa sekarang, fokus saya hanyalah untuk menghasilkan kandungan di Internet dan media sosial sahaja. Dari situ saya bermula, dari platform itu jugalah saya kumpul pengikut,” kongsinya.

Dalam pada itu, Khairul menasihatkan kepada anak-anak muda agar tidak sesekali meninggalkan pelajaran semata-mata mahu menjadi pencipta kandungan atau pempengaruh media sosial.

Katanya, langkah itu berisiko dan mendatangkan keburukan kepada masa depan anak muda.

“Saya tidak nafikan, memang ada kerisauan itu. Sebab dunia penghasilan kandungan ini masih baru, hala tuju masih belum jelas. Belum ada lagi pencipta kandungan yang dijanjikan pencen bila usia meningkat kelak.

“Saya sendiri juga tak tahu berapa lama saya akan bertahan dalam bidang cipta kandungan ini.

“Jadi saya khuatir, bila dengar ada anak muda yang mahu tinggalkan pelajaran semata-mata mahu jadi pencipta kandungan atau pempengaruh.

“Nasihat saya kepada anak muda, jangan tinggal pelajaran. Kerana ia berguna di masa depan. Adalah amat berisiko kalau mereka tinggalkan sekolah kerana mengejar dunia cipta kandungan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini