301 mangsa banjir dipindah ke lima PPS di Sepang

301 mangsa banjir dipindah ke lima PPS di Sepang

HUJAN lebat selama beberapa jam semalam menyebabkan kawasan rendah di kawasan Dengkil, Jenderam, Desa Pinggiran, Sungai Merab dan Jenderam dinaiki air.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai 301 mangsa banjir membabitkan 86 ketua isi rumah (KIR) dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS), di sini sejak malam tadi susulan hujan lebat semalam.

Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, PPS berkenaan termasuk Dewan Orang Ramai Kampung Ahmad Razali yang menempatkan 112 orang,  Dewan Orang Ramai Taman Gemilang (57 orang), Balairaya Kampung Semarang (16 orang), Dewan Orang Ramai Dengkil (70 orang) dan Sekolah Rendah Agama  Kampung Ahmad Razali (46 orang). 

Beliau berkata, hujan lebat selama beberapa jam semalam menyebabkan kawasan rendah di kawasan Dengkil, Jenderam, Desa Pinggiran, Sungai Merab dan Jenderam dinaiki air.

“Difahamkan, berdasarkan kepada trend air Sungai Langat yang semakin meningkat di Dengkil, kawasan hotspot dan berisiko banjir adalah Kampung Sri Tanjung, Kampung Cemperai, Kampung Semarang, Kampung Orang Asli Sungai Melut, Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dan Kampung Revolusi Hijau,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menasihatkan semua penduduk berhati-hati dan bagi mereka yang terjejas banjir dinasihatkan untuk berhubung terus dengan jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPPK) masing-masing untuk tindakan lanjut. 

Katanya, orang ramai juga dinasihatkan agar mematuhi arahan dan panduan daripada pihak berkuasa bagi keselamatan.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan kepada semua anggota  Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sepang di bawah pimpinan Pegawai Daerah Sepang yang bertungkus lumus membuat pemantauan dan tindakan segera.

“Saya turut mengarahkan Pegawai Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepang untuk terus membuat pemantauan rapat sejak petang semalam termasuk di PPS yang telah dibuka,” katanya.

Sementara itu, jalan raya berhampiran Desa Pinggiran Putra dari arah Putrajaya ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) turut  dinaiki air petang semalam namun, air surut sepenuhnya pagi ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×