NEW YORK: Agensi penarafan kredit, Fitch memberi amaran ketegangan yang meningkat antara Israel dan Iran serta lanjutan konflik di Gaza boleh menjerumus Tel Aviv ke dalam tekanan ekonomi yang serius.
Bank Israel menganggarkan kos berkaitan perang untuk 2023 hingga 2025 boleh mencecah AS$55.6 bilion (RM243 bilion).
Fitch menjangkakan Israel akan meningkatkan perbelanjaan ketenteraan sebanyak 1.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berbanding sebelum perang, dengan impak defisit awam yang tidak dapat dielakkan.
Pada suku akhir tahun lalu dan beberapa minggu selepas perang Gaza bermula, KDNK Israel menyusut sebanyak 20.7 peratus dari segi tahunan.
Kemerosotan itu didorong oleh penurunan 27 peratus dalam penggunaan swasta, penurunan dalam eksport dan pengurangan pelaburan perniagaan.
Menurut syarikat tinjauan perniagaan CofaceBDI, kira-kira 60,000 syarikat Israel akan ditutup tahun ini disebabkan kekurangan tenaga kerja, gangguan logistik dan sentimen perniagaan yang lemah.
Pada masa sama, rancangan pelaburan turut ditangguhkan, selain kemasukan pelancong terus berkurangan.
Perang di Gaza mencetuskan peningkatan mendadak dalam perbelanjaan kerajaan, dengan 93 peratus perbelanjaan ketenteraan direkodkan dalam tiga bulan terakhir 2023 berbanding tempoh sama pada 2022.
Sebelum ini, Fitch menurunkan penarafan kredit Israel kepada A dari A+, berikutan risiko geopolitik yang semakin buruk seiring dengan berterusan konflik di Gaza.
Terdapat spekulasi bahawa Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu menangguhkan pakej fiskalnya, yang mungkin terbukti tidak popular di dalam negara.
Kegagalan untuk meluluskan belanjawan menjelang Mac 2025 akan mencetuskan pilihan raya mengejut secara automatik.
Awal minggu ini, Ketua Bank Pusat Israel, Amir Yaron menggesa Netanyahu mempercepatkan belanjawan negara 2025, kerana penangguhan itu berisiko mencetuskan ketidakstabilan pasaran kewangan.- AL JAZEERA










