PETALING JAYA: Sebanyak 8 juta rakyat bakal menerima Sumbangan Tunai Ramah (STR) Fasa 3 pada 29 Ogos ini berjumlah hingga RM650 mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Manakala, bagi penerima baharu dan rayuan pula akan menerima bayaran mulai 18 September ini.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, kerajaan mengambil pendekatan baharu untuk membuka pendaftaran STR2024 sepanjang tahun bagi memberi peluang kepada lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada bantuan tersebut.
Oleh itu, menurutnya, bilangan penerima yang layak dijangka terus meningkat pada tahun ini selepas mengambil kira proses permohonan baharu dan kemas kini yang dijalankan sepanjang tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.
“Sekiranya nama pemohon tiada dalam pangkalan data STR, mereka perlu membuat permohonan bagi membolehkan proses verifikasi mengikut kategori kelayakan STR dimuktamadkan.
“Penerima sedia ada dan penerima baharu/rayuan yang berdaftar di dalam pangkalan data STR akan menerima pembayaran STR Fasa 3 melalui pengkreditan ke dalam akaun bank atau disalurkan secara tunai melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) secara berperingkat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, melalui Belanjawan 2024, Perdana Menteri mengumumkan bahawa peruntukan STR telah ditingkatkan sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus daripada RM8 bilion pada tahun lalu kepada RM10 bilion yang memanfaatkan penerima yang meliputi hampir 60 peratus penduduk dewasa Malaysia.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penambahan peruntukan bagi STR 2024 mencerminkan komitmen kerajaan untuk membantu meringankan cabaran kos sara hidup rakyat, terutamanya bagi keluarga di bawah kategori B40 dan M40 terendah
“Penambahbaikan STR 2024 adalah sejajar dengan pendekatan Kerajaan Madani untuk menumpukan sumber kewangan negara kepada rakyat yang memerlukan bantuan.
“Insya-Allah, dengan lebih penambahbaikan kepada pengurusan kewangan dan tatakelola, kerajaan akan mampu untuk memberi lebih bantuan pada masa kelak kepada golongan terbanyak serta rentan agar tiada rakyat yang tercicir,” katanya.
Sementara itu, MOF menasihati penerima STR untuk sentiasa berwaspada dengan penipuan (scam).
MOF ingin menasihati penerima STR agar sentiasa berwaspada dengan pautan yang tidak sahih oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan maklumat berkaitan program STR.
“Sebagai perlindungan daripada kes penipuan, pihak MOF tidak membuat penghantaran SMS dan mesej WhatsApp meminta maklumat peribadi kepada individu,” katanya.- UTUSAN











