KUANTAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang dan Zon Maritim Malaysia Mersing menahan sebuah kapal kargo sarat dengan 420 guni serbuk bijih timah dianggarkan bernilai RM1.5 juta, malam tadi.
Pengarah Maritim Malaysia, Pahang, Mazlan Mat Rejab berkata, barangan tersebut dipercayai cuba diseludup ke negara ini dari Indonesia.
Menurutnya, kapal kargo terbabit dikesan dalam keadaan mencurigakan sedang menuju ke Sungai Endau.
“Pergerakan dan aktiviti kapal kargo berkenaan terus dipantau seterusnya ditahan di jeti pendaratan ikan persendirian Tanjung Gemok, Kuala Rompin kira-kira 11.30 malam tadi.
“Pemeriksaan mendapati kapal kargo itu merupakan kapal Indonesia dikendalikan nakhoda kapal bersama tiga kru dan semuanya warga Indonesia berusia antara 34 tahun hingga 40 tahun.
“Hasil siasatan di dalam kapal menjumpai timbunan bungkusan guni berisi pasir hitam yang disyaki tin ore (bijih timah),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, hasil pemeriksaan lanjut, kesemua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada pihak berkuasa untuk membawa muatan kargo atau barang berduti.
Jelasnya, mereka juga tiada kebenaran merapat di jeti pendaratan ikan persendirian.
“Pihak berkuasa tidak mendapat maklumat daripada nakhoda kapal sekali gus gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Kapal kargo, nakhoda kapal dan semua kru bersama hasil rampasan ditahan seterusnya dibawa ke jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan terus membuat rondaan serta pemantauan terutamanya di perairan Pahang khasnya.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09- 5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.- UTUSAN








