KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini adalah gabungan bersama antara 18 buah parti politik termasuk UMNO, bukan gabungan Pakatan Harapan (PH) semata-mata.
Perkara itu diingatkan Ketua Pemuda, Dr. Muhamad Akmal Saleh agar semua pemimpin parti dalam PH lebih menjaga sensitiviti orang Melayu yang merupakan penduduk majoriti.
Katanya, semua pihak diyakini akan menjalani kehidupan lebih aman sekiranya hak-hak majoriti ini tidak disentuh mana-mana pihak.
“Kalau mahu menjaga keamanan secara keseluruhan, kita kena menjaga ketenteraman majoriti ini dulu, barulah minoriti ini akan tenang. Kalau yang majoriti ini tidak dijaga, maka akan jadi masalah.
“Inilah jadinya bila kerajaan Pakatan Harapan 22 bulan dulu, walaupun pada ketika itu ada Parti Pribumi bersatu Malaysia (Bersatu) di dalamnya, tetapi apabila soal agama, bangsa, rakan-rakan dalam pimpinan tidak berani bersuara, orang Melayu rasa mereka terancam,” katanya ketika ditemu bual eksklusif bersama Utusan Malaysia, semalam.
Katanya, keadaan ini berbeza dengan jalinan kerjasama antara BN dan PH di mana garis sempadan telah diletakkan dengan lebih awal bagi memelihara hak Melayu dan Islam yang tidak boleh dipertikai oleh sesiapa.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan terdapat sesetengah pemimpin yang masih mengeluarkan kenyataan menyentuh sensitiviti sehingga mencetuskan kemarahan orang Melayu.
“Kadangkala mereka (pemimpin pembangkang) terlepas cakap, mereka ini ingat kerajaan ini kerajaan PH dan saya nak beritahu mereka, ini bukan kerajaan PH, ini Kerajaan perpaduan.
“Maksudnya tidak ada UMNO, mereka tidak jadi Kerajaan. Jadi bila jadi kerajaan bersama, maka kena hormatlah perkara-perkara yang sensitif. Saya rasa dari segi isu ekonomi, isu polisi, tiada masalah.
“Sebab itu bila ada orang tanya saya, adakah UMNO nak keluar daripada Kerajaan Perpaduan? Bagi saya politik ini perkara yang sangat subjektif, dan politik ini adalah dinamik. Kalau tidak selesa dengan saya, saya minta maaf, tetapi saya tak kisah, saya tak peduli,” jelasnya.
Tambah Akmal, kerjasama ini perlu diteruskan sekiranya diterima baik oleh masyarakat.
Namun, jika sebaliknya berlaku dan tidak memberi keuntungan kepada mana-mana pihak, beliau tidak menolak ‘perceraian’ jika ia merupakan jalan terbaik untuk semua pihak.
“Kalau kita tak boleh bekerjasama, rakyat tak suka, nak buat apa lagi? macam dalam satu perkahwinan..akhir sekali Islam tetap membenarkan cerai. Apabila tidak sekufu, akan bergaduh sahaja, maksudnya tak boleh duduk bersama.
“Mungkin berpisah itu yang terbaik. Jadi, dalam politik pun sama,” ujarnya.











